PETALING JAYA – “Masakan saya yang paling dia (Fattah) suka adalah sambal udang.”
Demikian perkongsian ibu kepada pelakon Fattah Amin, Azizah Abdul Ghani mengenai masakan kegemaran anak sulungnya ketika diundang seorang pempengaruh dalam siaran langsung aplikasi TikTok.
Biarpun dilihat sebagai maklum balas santai bagi menjawab pertanyaan ringkas itu, jawapannya dan kelembutan wanita terbabit meraih perhatian ramai.
Dalam temubual berkenaan, ibu Fattah turut mendedahkan sejak kecil, pelakon filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah itu senang dijaga.
“Dia anak yang baik, tidak nakal dan pandai membawa dirinya sendiri,” katanya ditanya mengenai keperibadian puteranya.
Bahkan, kelembutan seorang wanita dalam mendidik anak turut membuatkan Azizah dipuji ketika memberi respons berhubung detik awal aktor terbabit terjun ke arena lakonan.
Biarpun tampak berharap anaknya memilih bidang lain, ibunya tetap mendoakan kesejahteraan hidup permata hatinya itu.
“Mula-mula tahu Fattah jadi artis memang rasa terkejut. Dulu kalau boleh tak payahlah (jadi artis).
“Ada juga pangkat sepupu dan bapa saudara yang menjadi artis.
“Ibu doakan along (Fattah) supaya menjaga diri, solat tidak tinggal, jaga nama baik keluarga,” ujarnya.
Dalam wawacara sama, adik bongsu pelakon terbabit iaitu Raihan turut berkongsi sikap abangnya yang disifatkan tegas.
“Along seorang yang ‘cool’, sewaktu adik-adik masih kecil dia sangat tegas dengan kami. Biasalah anak sulungkan, memang kena tegas sikit.
“Saya mendoakan along menjadi Muslim yang berjaya dunia akhirat, amin,” katanya.
Seperti ibu mereka, sikap tenang, lembut ketika berkata-kata selain sejuk mata memandang adiknya itu turut dipuji netizen.
Malah, dari situ rata-rata yakin Fattah dibesarkan dalam keluarga yang menitikberatkan adab dan berpegang teguh terhadap ajaran Islam.
“Alhamdulillah, Fattah lahir daripada keluarga yang berperawakan baik, insya-Allah yang baik-baik buatnya sekeluarga,” kata seorang pengikut.
“Adik Fattah cantik semula jadi, yang penting tutup aurat dan kuat mengaji,” tulis netizen lain.
Sejak bercerai dengan pelakon Nur Fazura pada 7 Oktober lalu populariti Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd. Amin, 34, naik mencanak bahkan turut disambar sebagai duta produk.
Susulan itu, ahli keluarga terdekat terutama ibunya turut terkena tempias kemashyurannya apabila turut diundang sebagai tetamu di sesi audio siar serta program lain. – KOSMO! ONLINE