YAN – Penduduk di Kampung Padang Besar, Sungai Limau di sini gempar apabila melihat pusaran angin seperti puting beliung melanda satu kawasan tidak jauh dari situ pada petang ini.
Penduduk, Faranina Nazeri berkata, dia menyedari pusaran angin tersebut ketika berada di luar rumah kira-kira pukul 3.10 petang tadi.
“Saya terkejut kerana ini merupakan kali pertama saya melihat puting beliung depan mata.
“Saya sempat merakamkan pusaran angin tersebut yang dilihat datang dari arah Kampung Selengkoh sehingga hilang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, dia bagaimanapun tidak mengetahui sama ada terdapat rumah penduduk yang terjejas akibat kejadian itu.
“Pusaran itu yang turut diikuti dengan awan hitam kelihatan sampai ke bawah, namun tidak pasti sama ada ia melanda kawasan daratan atau tidak,” jelasnya.
Faranina kemudian berkongsi video rakaman berdurasi 10 saat itu di kumpulan WhatsApp penduduk kampung.
Sementara itu, turut tular kejadian pusaran angin itu di Facebook yang berlaku di Alor Nan, Pendang petang ini. Difahamkan kejadian berlaku di kawasan sawah dan sungai. – KOSMO! ONLINE