PETALING JAYA – Lawatan kerja di Shanghai dan Beijing memperkukuhkan lagi persahabatan antaran Malaysia dan China, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau dalam satu hantaran di Facebook berkata, selain mempererat hubungan peribadi bersama Presiden Xi Jinping, negara juga menjana potensi eksport bernilai RM3.2 bilion.
“Hari terakhir di China yang padat namun sangat bermanfaat, bermula dengan pertemuan dengan pelabur berpotensi dan disimpulkan dengan kunjungan hormat ke atas Presiden Xi Jinping.
“Alhamdulillah, lawatan kerja di Shanghai dan Beijing ini mempererat persahabatan Malaysia-China serta hubungan peribadi saya dengan Presiden Xi dan Premier Li Qiang, di samping menjana potensi eksport bernilai RM3.2 bilion,” katanya di sini, hari ini.
Sementara itu, Anwar dalam hantaran berbeza berkata, beliau turut menjemput Presiden Xi untuk menghadiri persidangan ASEAN di Malaysia tahun depan.
“Menjelang kepengerusian Malaysia dalam ASEAN, saya tegaskan Malaysia bersedia memperkukuh hubungan serantau, terutamanya menerusi penganjuran sulung Sidang Kemuncak ASEAN GCC+China.
“Mengetuai delegasi Malaysia, saya zahirkan penghargaan tertinggi atas layanan luar biasa dan keikhlasan persahabatan yang dihulurkan oleh Presiden Xi dan Premier Li Qiang, serta seluruh pimpinan China,” katanya.
Tambah hantaran itu, Anwar turut menyatakan terima kasih atas sokongan Presiden Xi terhadap penyertaan Malaysia dalam BRICS sewaktu di Kazan tempoh hari.
“Menyentuh hubungan dua hala kedua-dua negara yang mencecah usia 50 tahun, saya nyatakan Malaysia bersedia untuk memperkukuh persahabatan dan kerjasama dalam perniagaan, ekonomi dan pelaburan terutama dalam teknologi digital, tenaga dan pendidikan.
“Saya juga menyatakan penghormatan atas ucapan berbisa Presiden Xi di persidangan BRICS terkait perkongsian masa depan. Komitmen Presiden Xi cukup mengesankan dalam kalangan negara Global South,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya menghargai semangat Xi untuk mengangkat martabat rakyat terpinggir dan menjulang nilai kemanusiaan. – KOSMO! ONLINE