SEPANG – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mengenal pasti sebanyak 2,159 kawasan kemungkinan berlaku bencana berdasarkan rondaan yang dibuat oleh anggotanya sejak Januari hingga Oktober lalu.
Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Aminurrahim Mohamed berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 122 melibatkan hakisan tanah dan cerun dan telah dilaporkan kepada agensi yang berkaitan.
“Daripada jumlah keseluruhan itu, ia pelbagai termasuklah pencemaran udara, efluen yang tidak dikenal pasti dan sebagainya. Tapi yang ini adalah melalui fizikal mata (pemerhatian) dan bukan secara teknikal.
“Jadi tak boleh pegang APM punya (pemerhatian) dan memerlukan kepakaran jabatan teknikal sebab kita tengok melalui mata kasar,” katanya.
Beliau berkata pada Sesi Libat Urus Persiapan Kerajaan Menghadapi Monsun Timur Laut 2024/2025 di Markas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Pulau Meranti di Puchong dekat sini, hari ini.
Aminurrahim berkata, menerusi penemuan tersebut, APM turut membuat laporan kepada pihak yang berkenaan sekiranya insiden tersebut boleh memberi kesan negatif antaranya tanah runtuh atau bencana.
“Laporan dibuat kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) atau agensi yang telah kami bekerjasama, termasuk Jabatan Alam Sekitar, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara,” ujarnya.
Aminurrahim berkata, APM turut menggerakkan seramai 533 anggota pasukan ‘chameleon’ bagi melakukan rondaan kira-kira lima kali seminggu terhadap 4,619 ‘hot spot’ berisiko berlaku bencana di seluruh negara.
“Secara keseluruhan sepanjang 10 bulan ini, sebanyak 30,000 rondaan telah dilakukan di setiap daerah dan negeri,” katanya.
Selain itu, katanya, APM mewujudkan pasukan ‘elak pokok tumbang’ dimulakan di Kota Tinggi, Johor secara kecil-kecilan sebagai projek perintis sekali gus menggalakkan penjagaan pokok lebih-lebih lagi yang berisiko tumbang.
“Saya memilih kampung saya untuk memulakan projek itu sebab kebetulan kita lihat banyak pokok berbahaya. Kemungkinan boleh tumbang selain ribut, jadi ada satu pasukan untuk memantau,” katanya. – KOSMO! ONLINE