KUALA LUMPUR – Selepas sekian lama tidak muncul dengan lagu berentak balada, Black bakal melancarkan lagu Sabar bermula esok di semua platform digital.
Menurut Black atau nama sebenarnya Hanifah Md Hanafiah, 33, dia sudah lama tidak muncul dengan lagu berentak balada yang juga dianggap sebagai genre ‘makanannya’.
“Sabar yang saya sudah simpan selama empat tahun ini adalah seratus peratus hasil ciptaan saya sendiri. Saya curahkan semua perasaan sepanjang bergelumang dalam industry seni selama 12 tahun dalam lagu ini.
“Apa yang boleh saya katakan ialah lagu ini berbeza dengan apa yang pernah dihasilkan sebelum ini. Lagu balada sebegini memang kena dengan jiwa dan akan menghayati sepenuh hati ketika menyanyikannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Black memberitahu, lagu bergenre balada tersebut juga turut mengembalikan nostalgia pada awal kemunculannya suatu ketika dahulu.
“Kiranya kalau orang dengar lagu ini, orang sudah tahu ini adalah muzik dan identiti saya. Sewaktu proses rakaman pun semuanya berjalan lancer kerana saya memahami melodi dan liriknya.
“Pada awalnya, saya akui tidak begitu yakin untuk menghasilkan lagu sendiri tetapi selepas rakan-rakan memberikan respons yang positif selepas mendengarnya dan bertanya mengapa saya tidak pernah merakam lagu tersebut,” ujarnya.
Tambah Black, keyakinan untuk melancarkan lagu berkenaan semakin membuak-buak selepas rakan-rakan mula menghafalnya selepas siap dirakam sepenuhnya.
Berkongsi lanjut, Black berkata, lagu itu dirakam dan disiapkan sepenuhnya sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Empat tahun lalu, saya cipta lagu ini tanpa ada sebarang suntingan. Apabila ada keyakinan, saya terus siapkan. Malah, gubahan lagu ini juga sama seperti apa yang saya bayangkan masa di awal dulu,” ujarnya lagi.
Menurut Black, lagu Sabar mengisahkan bagaimana seseorang perlu bersabar dengan kehidupan dilalui.
“Sewaktu menulis lagu ini akui dalam keadaan tertekan dengan kehidupan sendiri. Jadi, mesej yang ingin disampaikan adalah sabar.
“Sabar ini juga boleh dikaitkan dalam perhubungan percintaan, persahabatan atau kekeluargaan, jadi siapa sahaja yang mendengar lagu ini boleh mengaitkan mesejnya dengan diri masing- masing,” katanya.
Single Sabar terbitan dan edaran Nova Music Malaysia dilancarkan dalam semua platform digital muzik seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBox dan Deezer bermula 24 Julai 2020 (esok). – K! ONLINE