PETALING JAYA – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) sekali lagi melakar sejarah apabila diiktiraf sebagai Pusat Latihan Serantau (RTC) kedua di Asia-Pasifik serta yang ke-10 keseluruhannya di bawah Union Internationale des Transports Publics (UITP).
Sehubungan itu, Prasarana menandatangani perjanjian kolaborasi bersama UITP iaitu sebuah organisasi pengangkutan awam antarabangsa yang berpusat di Brussels, Belgium.
Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Mohd. Azharuddin Mat Sah, dengan termeterainya perjanjian selama dua tahun itu memberi peluang kepada agensi tersebut untuk memperkukuhkan peranannya dalam mengembangkan sektor pengangkutan awam di Malaysia dan rantau ini.
“Sekali gus, bukan sahaja dapat memperhebat pembinaan kapasiti dalam organisasi ini tetapi juga menyediakan platform untuk peningkatan kemahiran dan latihan bagi tenaga kerja serantau dalam industri pengangkutan awam.
“Sebagai RTC di bawah naungan UITP, Prasarana kini berada dalam kedudukan yang lebih kukuh bukan sahaja untuk membangunkan modal insan dalaman tetapi juga memberi manfaat kepada seluruh ekosistem pengangkutan awam di Malaysia dan Asia-Pasifik.
“Kami berbangga dapat memainkan peranan penting dalam memperkukuh standard dan keberkesanan pengangkutan awam di rantau ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangai Perjanjian Kolaborasi antara Prasarana dan UITP di Menara Prasarana, Ara Damansara di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Hasbi Habibollah; Pengerusi Kumpulan Prasarana, Tan Sri Jamaluddin Ibrahim; Ketua Setiausaha UITP, Mohamed Mezghani dan Ketua Pembangunan Produk dan Perniagaan untuk Acara dan Perkhidmatan Akademi UITP, Muhammed Emre Kiran.
Sementara itu, Hasbi berkata, pengiktirafan RTC tersebut meningkatkan profil Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pengangkutan awam di peringkat antarabangsa.
“RTC ini juga menyediakan latihan berkaitan yang membantu meningkatkan pengetahuan dan kemahiran kakitangan tempatan yang menyumbang kepada pembangunan modal insan di Malaysia dan membina asas tenaga kerja berdaya saing dalam sektor pengangkutan awam.
“Sudah pastinya nanti RTC ini akan dapat juga berkolaborasi dengan mana-mana insitutusi pendidikan seperti universiti, politeknik serta Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) untuk melahirkan pekerja profesional dalam bidang pengangkutan.
“Seterusnya, RTC ini juga memberi impak kepada teknologi dan ekonomi negara kita,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamed berkata, pemilihan Prasarana sebagai tuan rumah pusat latihan serantau UITP mencerminkan kepercayaan pihaknya terhadap kerjasama ini yang akan membantu Prasarana menjadi model bagi bandar-bandar dan sistem pengangkutan awam lain.
“Penubuhan RTC ini selari dengan visi UITP untuk mewujudkan rangkaian pusat latihan yang strategik di seluruh dunia.
“Prasarana, sebagai sebuah RTC, diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan profesional yang berterusan dan memastikan pengangkutan awam menjadi tulang belakang yang mapan untuk pertumbuhan ekonomi dan sosial,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE