GEORGE TOWN – Suspek yang menikam dua beranak hingga mati dengan menggunakan pisau dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Bandar Baru Farlim, Ayer Itam semalam direman selama tujuh hari bermula hari ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, suspek berusia 32 tahun kini berada dalam keadaan stabil dan sedang dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP).
“Suspek direman bermula hari ini hingga 14 November bagi membantu siasatan.
“Suspek masih hidup, dalam keadaan stabil, berita yang mendakwa suspek telah meninggal dunia adalah berita palsu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.54 petang semalam, seorang bapa dan anak perempuan masing-masing berumur 62 tahun dan 30 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas ditikam suspek.
Suspek kemudiannya bertindak mengelar dan menikam dirinya sendiri beberapa kali selepas membunuh dua beranak tersebut. -KOSMO! ONLINE