fbpx

Danny masih berbisa, julang piala Yaris Jelajah Toyota

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Danny menerima hadiah dari pemilik Mines Resort Tan Sri Lee Kim Yew dan Pengarah Pertandingan Harbans Singh.

SERI KEMBANGAN – Danny Chia membuktikan bahawa dia masih lagi berbisa dan antara pemain golf terbaik negara apabila menjulang Piala Yaris untuk gelaran ketiganya bagi Jelajah Toyota semalam.

Pada usia 51 tahun, Danny berjaya merampas tangga teratas setelah cemerlang melakukan empat bawah par 67 pada pusingan akhir yang tergendala akibat hujan di Kelab Golf Mines Resort.

Dengan skor terkumpul tujuh bawah 206, Danny menewaskan pencabar terdekatnya Afif Fathi dengan dua stroke untuk meraih ganjaran tunai RM31,500.

Memulakan pusingan penentu ketinggalan tiga pukulan di belakang pendahulu bersama 36-lubang iaitu Ben Leong dan Afif, Danny langsung tidak dijangka akan mencabar untuk kejuaraan, lebih-lebih lagi setelah dia melakukan double bogey pada lubang pertamanya.

Namun, Danny, yang merupakan satu-satunya pemain Malaysia yang pernah muncul juara Jelajah Asia sebanyak dua kali, memulakan kebangkitan sensasinya dengan membidik enam birdie untuk melengkapkan sembilan lubang pertama dengan skor tiga bawah 33.

Danny memperoleh dua lagi birdie pada separuh aksi terakhir di lubang ke-12 dan ke-17, dan walaupun dia tercicir bogey keduanya pada lubang terakhir, ia sudah memadai untuk mengetepikan Afif.

Dengan gelaran terbaharu ini, Danny menjadi pemain kedua untuk mencapai tiga kejuaraan Jelajah Toyota selepas Galven Green.

“Kesudahan hari ini adalah mirip apa yang saya alami tahun lalu ketika Piala Corrola di Royal Perak. Ketika itu, saya melakukan triple bogey pada lubang pertama tetapi pada akhirnya berjaya juga muncul juara,” kata Danny.

Danny berharap akan dapat meneruskan momentum ke acara penutup musim iaitu Kejohanan Jelajah Toyota di Kota Permai Golf & Country Club pada 20-23 November ini.

“Saya akan ke Taiwan terlebih dahulu untuk satu pertandingan jelajah senior di situ dan lepas itu saya akan beraksi di Kota Permai,” jelas Danny.

Berkongsi di tangga ketiga dengan skor 209 adalah Syahiran Syakir (67) dan Shahrifuddin Ariffin (69), manakala Ben (75) sekadar berpuas hati dengan perkongsian tempat kelima.

Dalam saingan Kejohanan Wanita, bintang amatur negara Ng Jing Xuen, yang baharu sahaja berusia 16 tahun, sekali lagi membayangi pesaing-pesaing profesional dengan kehebatannya.

Memulakan hari terakhir dengan lima pukulan, catatan par 71 sudah cukup untuk pemenang pingat emas Sukan SEA mengetepikan Winnie Ng dengan kelebihan empat stroke, walaupun pada satu ketika Winnie sempat merapatkan jurang kepada hanya satu pukulan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI