fbpx

Lebih 28,000 saman dikeluarkan dalam Op Khas Motosikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aedy Fadly (lima dari kiri) pada Majlis Perasmian Penutup Program MyLESEN Tahun 2024 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. - Foto oleh AMIR KHALID / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Sebanyak 28,811 notis saman atas pelbagai kesalahan telah dikeluarkan dalam Op Khas Motosikal 2024 sejak ia dilaksanakan 1 November lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, antara kesalahan yang paling tinggi dikenakan saman ialah tiada lesen memandu, lesen tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans.

“Memasuki hari ketujuh Op Khas Motosikal, sebanyak 23,895 notis saman JPJ(P)22 dikeluarkan terhadap 15,828 buah motosikal dan 8,067 lain-lain kenderaan di seluruh negara.

“Bagi tempoh itu juga, sebanyak 114,378 motosikal dan kenderaan lain telah diperiksa,” katanya ketika sidang akhbar Majlis Perasmian Penutup Program MyLESEN Tahun 2024 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini hari ini.

Aedy Fadly berkata, antara alasan diberikan pemandu atau penunggang yang tidak perbaharui mahupun tiada lesen dan perlindungan insurans ialah tidak mempunyai masa untuk perbaharui atau mengambil lesen.

“Saya nasihatkan pengguna-pengguna jalan raya khususnya penunggang motosikal supaya berhati-hati dan perbaharui lesen dan cukai jalan kerana ia merupakan keperluan yang sangat penting.

“Kalau tiada cukai jalan, tiada insurans, sekiranya terjadi apa-apa akan mengakibatkan kesusahan kepada penunggang itu sendiri dan pengguna jalan raya lain,” ujarnya.

Selain itu, beliau turut mengingatkan bahawa JPJ akan menyita motosikal sekiranya didapati tiada insurans dan cukai jalan ataupun melakukan pengubahsuaian yang ekstrem.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan JPJ sedang mendapatkan pandangan daripada pihak Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung tuntutan saman yang dikemukan atas dakwaan penyalahgunaan dan pelanggaran harta intelek bagi ‘Program Nombor Plat Khas Kenderaan Bersiri Madani 1 Sehingga Madani 9999’.

“Kita sedang mendapatkan pandangan daripada pihak AGC berkaitan notis yang telah dikemukakan oleh seorang pemilik syarikat yang menuntut, jadi kita sedang meneliti tindakan yang perlu kita ambil,” katanya.

Terdahulu, pada majlis tersebut seramai 1,824 golongan B40 menerima manfaat mendapatkan lesen seperti Lesen Memandu Malaysia (LMM) Kelas B2 (1,790), Lesen Vokasional Kenderaan
Perkhidmatan Awam (PSV) E-Hailing (14) dan PSV Bas (20) di peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Program ini merupakan komitmen dan usaha cakna Kerajaan untuk membantu golongan B40 mempertingkatkan taraf sosioekonomi dan pendapatan isi rumah melalui peluang pekerjaan terutamanya ekonomi gig.

“Inisiatif ini juga sebagai langkah untuk melahirkan pemandu yang kompeten dan selamat seterusnya meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap pematuhan peraturan-peraturan jalan raya dan juga pembudayaan keselamatan jalan raya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI