PETALING JAYA – Penyanyi Ina Naim sah bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Mohd. Khairul Rizal Mohd. Shukor, pada majlis pernikahan yang diadakan di Sg Ara Kota Tinggi, Johor pukul 9.50 pagi tadi.
Mengenakan baju kurung coklat muda lengkap layah, Ina atau nama sebenarnya Nordiana Mohd. Naim, 40, menerima mas kahwin berjumlah RM100.
Menerusi perkongsian akaun TikTok, Telur Pindang Tradisi Johor, majlis yang berlangsung secara sederhana tetapi meriah itu difahamkan diadakan di kediaman keluarganya.
Selain mas kahwin, keluarga pengantin lelaki juga membawa dulang hantaran berupa sirih junjung, buah-buahan serta manisan.
Duda anak dua itu turut menyerahkan sebentuk cincin, seutas gelang tangan serta wang hantaran berjumlah RM7,000.
Terdahulu, tular video memaparkan Khairul Rizal sedang bersiap sedia untuk ke lokasi akad nikah diiringi keluarganya.
Menerusi ruangan komen pula, ramai mengucapkan tahniah buat pasangan pengantin baru selain mendoakan mereka mengecapi kebahagiaan berpanjangan.
“Tahniah buat mempelai. Semoga pernikahan ini diberkati Allah,” kata seorang pemilik akaun TikTok.
“Semoga perkahwinan ini kekal hingga ke jannah,” tulis seorang netizen.
Majlis resepsi pasangan yang berkenalan selepas Syawal lalu itu diadakan selepas pernikahan di kediaman pengantin perempuan.
Terdahulu, Ina berkahwin dengan Suhaimi atau Mohd. Suhaimi Saad, 43, pada 12 Ogos 2007, namun Allahyarham meninggal dunia pada 15 November tahun lalu akibat jangkitan kuman pada paru-paru.
Hasil perkongsian hidup selama 16 tahun, mereka dikurniakan empat cahaya mata, Ehmad Hadie Elfardie, Sallman Elkhoyri, Phyrosh Elfadwah dan Nur Layla Elghufrony. – KOSMO! ONLINE