PETALING JAYA – Terkesan soal zuriat, pelakon dan pengacara Janna Nick mengakui pernah melalui fasa lebih sukar dalam hidup berbanding diasak pertanyaan mengenai zuriat.
Janna atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner, 29, berkata, dia pernah menangis tanpa pengetahuan suaminya, Dini Schatzmann hanya disebabkan datang bulan.
“Terima kasih semua atas doa dan kata-kata baik, saya okey sahaja. Menangis adalah perkara biasa bagi semua yang menanti kelahiran (TTC).
“Itu juga adalah kitaran kesedihan yang perlu dihadapi setiap bulan dan sebenarnya saya pernah lalui ‘breakdown’ (kejatuhan) lebih teruk lagi sebelum ini.
“Nangis senyap-senyap dalam tandas selepas tahu datang haid sebab tidak mahu suami kita sedih juga. Ini semua lumrah bagi mereka yang sedang berusaha untuk dapatkan anak,” katanya dalam sebuah hantaran Instagram.
Selain itu, pengacara program realiti, Famili Duo itu memaklumkan hanya mahu berkongsi pengalaman mendapatkan anak kepada khalayak selain masih mengharapkan dikurniakan rezeki.
“Reda bukan tak reda tetapi cuma nak berkongsi perjalanan saya sepanjang TTC.
“Saya tetap percaya dan bersangka baik dengan Allah. Semoga ada antara doa kalian yang diangkat oleh Allah SWT,” ujarnya.
Sebelum ini, Janna menangis teresak-esak meminta agar berhenti bertanyakan soal anak selain mendedahkan sudah setahun menjalani rawatan rawatan persenyawaan in-vitro (IVF), namun gagal.
Janna dan Dini berkahwin pada Jun 2023 di sebuah pusat peranginan di Langkawi.
Sejak berkahwin Janna dan Dini tidak pernah merancang soal anak bahkan sering berharap segera dikurniakan cahaya mata. – KOSMO! ONLINE