PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menjangkakan hujan lebat dan angin kencang di lapan negeri pagi ini.
MetMalaysia memaklumkan, negeri-negeri yang terlibat adalah Pulau Pinang, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
“Di Pulau Pinang, cuaca buruk ini dijangka melibatkan kawasan Barat Daya dan Timur Laut. Manakala di Perak, ia berlaku di Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk dan Hilir Perak” katanya.
Hujan lebat dan angin kencang turut menjejaskan keseluruhan kawasan di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya.
MetMalaysia turut memaklumkan bahawa di Johor, kawasan yang terlibat ialah kawasan Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru. Negeri Sembilan dan Melaka juga tidak terkecuali.
Walaubagaimanapun, cuaca kelihatan cerah dan baik di sekitar Sabah dan Sarawak pagi ini.
Penduduk di kawasan terlibat dinasihati supaya berwaspada terhadap risiko banjir kilat dan pokok tumbang yang mungkin berlaku akibat cuaca buruk ini. – KOSMO! ONLINE