KUALA LUMPUR – Seorang senior Universiti Pertahanan Awam Nasional Malaysia (UPNM) yang mendatangkan cedera terhadap seorang pegawai kadet univerisiti itu bulan lalu tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini sebentar tadi.
Pelajar itu tiba pada pukul 9.50 pagi diiringi polis. Difahamkan, pertuduhan akan dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Semalam Kosmo! melaporkan suspek buli dan dera seorang pegawai kadet UPNM akan dituduh di mahkamah hari ini.
Terdahulu Kosmo! melaporkan mangsa ditekap seterika pada bahagian dada selepas diminta menggosok baju kerja milik seniornya dalam kejadian di bilik asrama universiti berkenaan 22 Oktober lalu.
Rakaman percakapan mangsa berusia 20 tahun itu telah diambil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras dan mangsa juga diminta untuk membuat rawatan di hospital bagi mengesahkan jenis kecederaannya.
Sebelum itu, polis turut merampas seterika yang juga barang kes digunakan dalam kes buli dan mencederakan pelajar terbabit pada 22 Oktober lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, siasatan lanjut turut dilakukan dengan merakam keterangan seramai 16 individu setakat hari ini.
“Antara 16 orang yang dirakam keterangan adalah pengadu, suspek, pegawai kadet , kakitangan, jurulatih dan pegawai perubatan,” katanya.
Sebelum ini, Angkatan Tentera (ATM) menjalankan siasatan berkait kes seorang pegawai kadet di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), UPNM Sungai Besi yang disyaki dibuli dan didera oleh seorang penuntut senior. – KOSMO! ONLINE