PETALING JAYA- Tentera Darat Malaysia (TDM) mengesahkan sebuah Kenderaan Pengangkut Kereta Perisai (KPKP) dari 4 Kompeni Angkut Kor Perkhidmatan Diraja (4 KPD Mek) bersama muatan dua buah Kenderaan Jenis A (KJA) Adnan milik pasukan Batalion Ketujuh Rejimen Renjer Diraja (7 RRD Mek) telah terlibat dalam kemalangan hari ini.
TDM melalui satu kenyataan berkata, kemalangan berlaku di jalan raya di KM 35.2 dari Terowong Genting Sempah menuju ke Tol Gombak pada pukul 4.45 petang hari ini.
“Kenderaan ini dalam perjalanan secara konvoi sebanyak enam KPKP yang membawa 12 KJA dari Kem Batu 10, Kuantan menuju ke Kem Syed Sirajuddin, Gemas untuk Latihan Peningkatan Tempur (LPT).
“Melalui laporan awal yang diterima, kemalangan disebabkan KPKP cuba untuk mengelak sebuah trailer awam yang telah menukar haluan dan masuk ke lorong kanan secara tiba-tiba,” jelas kenyataan tersebut.
Tambah kenyataan itu, kemalangan itu turut disebabkan keadaan jalan yang licin akibat cuaca hujan, KPKP telah hilang kawalan dan seterusnya terbabas ke jalan bertentangan.
Katanya, kerosakan adalah keseluruhan bahagian Prime Mover KPKP manakala tiada kerosakan pada KJA dan pemandu KPKP tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kenderaan lain yang berada di dalam konvoi telah meneruskan perjalanan ke Kem Perdana
Sungai Besi.
“TDM telah menggerakkan sebuah kenderaan KEMBALIK dari pasukan Rejimen Pertama Kor Armor Diraja (1 KAD Mek) dari Kem Batu 10, Kuantan dan sebuah KPKP dari Kem Perdana Sungai Besi ke lokasi kemalangan bagi membuat penarikan KPKP dan pengambilan dua buah KJA yang terlibat kemalangan ke pasukan bagi tindakan selanjutnya,” katanya.
Tambah kenyataan itu lagi, TDM akan menubuhkan Lembaga Siasatan bagi menyiasat punca sebenar kemalangan berlaku.-KOSMO! ONLINE.