BALING – Seorang lelaki maut manakala anak perempuannya cedera selepas kereta yang mereka naiki bertembung sebuah pikap di Jalan Baling-Pengkalan Hulu dekat Gunung Inas, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, Shafiron Mohd Zaid, 40, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala dan badan.
Sementara anak perempuannya berusia dua tahun cedera dan dikejarkan ke Hospital Baling.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Azmi Mokhtar berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kereta Proton Waja dipandu mangsa dari arah Sungai Petani hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan.
“Kereta tersebut kemudian bertembung sebuah pikap jenis Isuzu yang datang dari arah bertentangan iaitu Pengkalan Hulu.
“Kemalangan mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala anaknya cedera,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, pemandu pikap dan dua penumpang yang merupakan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pengkalan Hulu cedera ringan. – KOSMO! ONLINE