JAKARTA – Sebuah video tular di media sosial Indonesia memaparkan situasi seorang wanita membawa anaknya ke balai polis bagi memberi pengajaran agar tidak bersikap biadab kepada ibu bapa, lapor laman berita Tribunnews hari ini.
Dalam video yang dimuat naik di laman sosial, budak lelaki yang kelihatan sudah mencapai umur remaja itu dilihat meronta-ronta dan menangis sambil memegang tangan ibunya.
Si ibu pula menjauhkan diri daripada anaknya setiap kali remaja tersebut cuba mendekatinya.
Beberapa anggota polis turut menyaksikan adegan yang berlaku di balai polis itu.
“Sering melawan cakap ibu bapa, kanak-kanak ini dibawa ke balai polis sampaikan dia menangis teresak-esak,” kata hantaran video tersebut.
Video itu menjadi tular dan menerima pelbagai komen daripada netizen dengan ramai yang menyokong tindakan si ibu dalam mendisiplinkan anaknya.
“Idea yang bagus untuk para ibu yang mempunyai anak suka melawan cakap,” kata seorang netizen.
“Masih bergantung dengan ibu, jangan banyak melawan,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI