PETALING JAYA – Sebuah treler yang difahamkan milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang membawa dua buah kereta perisai dilaporkan terbalik di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) menuju ibu kota ketika ini.
Menerusi siaran langsung seorang pengguna media sosial Tik Tok sebentar tadi menunjukkan, kejadian tersebut berlaku selepas terowong Genting Sempah menuju ke Kuala Lumpur mengakibatkan keadaan trafik sesak hampir 5 kilometer (KM).
Difahamkan dua buah kereta perisai milik ATM yang dibawa oleh treler terbabit dari Kuantan, Pahang turut terbalik dalam kejadian tersebut.
Dalam pada itu, tinjauan di laman sesawang trafik.now turut menunjukkan keadaan trafik di lebuh raya KLK itu ketika ini mengalami kesesakan. – KOSMO! ONLINE.