fbpx

PRU-15: UMNO tidak beri tekanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mahdzir Khalid melihat pameran dan melawat Stesen Suis , Sambungtara Sub Marine Cable Dasar laut di Senibung Permas Jaya , Johor Bahru hari ini. Foto: BAZLAN IBRAHIM

JOHOR BAHRU – UMNO tidak akan memberi tekanan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) supaya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU ke-15) diadakan dengan segera pada ketika ini.

Naib Presidennya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, keputusan berhubung PRU perlu dibuat secara rasional dengan mengambil kira kepentingan rakyat terlebih dahulu.

Jelasnya, antara perkara yang perlu diutamakan ketika ini termasuklah pandemik Covid-19 dan bencana banjir.

“Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pernah berhasrat untuk mengadakan PRU kerana kerajaan PN ketika ini tidak memiliki majoriti yang besar.

“Namun dalam masa sama, kita perlu bertindak secara rasional kerana masyarakat sedang menilai. Kita perlu selesaikan perkara yang lebih utama iaitu Covid-19 dan banjir.

“Oleh itu, kita (UMNO) tidak menekan untuk mengadakan PRU ke-15 pada waktu ini, tetapi selepas keadaan Covid-19 berada pada tahap yang lebih rendah,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan Lawatan Kerja ke Stesen Pencawang Masuk Utama Dasar Laut Senibong di sini, hari ini.

Majlis Kerja Tertinggi UMNO sebelum ini menggesa agar PRU ke-15 diadakan sebelum berakhir suku pertama tahun ini bagi membolehkan mandat baharu diserahkan kepada rakyat namun ianya perlu tertakluk kepada situasi semasa Covid-19.

Sementara itu, ketika ditanya berhubung cadangan beberapa Bahagian UMNO yang mahu memutuskan kerjasama dengan kerajaan PN dalam PRU ke-15 akan datang, Mahdzir memberitahu perkara itu akan dibincangkan secara dalaman.

“Perkara ini antara parti terlibat, jadi biarlah ianya dibincangkan antara parti dengan parti,” ujarnya ringkas. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI