SUNGAI PETANI – Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor tetap meneruskan tindakan undang-undang ke atas Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkaitan isu fitnah dana Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris) dan kecurian unsur nadir bumi (REE).
Beliau berkata, perbicaraan kes tersebut akan berlangsung pada 11 hingga 13 November ini, namun beliau difahamkan pihak Saifuddin memohon supaya prosiding itu ditangguhkan atas alasan sibuk dengan tugas negara.
“Saya tak pasti mahkamah beri penangguhan atau tidak, kalau mahkamah beri penangguhan tak apalah, kita tunggu tarikh seterusnya pula.
“Bagaimanapun saya tetap dengan pendirian saya bahawa mana-mana fitnah kepada saya atau kerajaan negeri kita akan ambik tindakan tegas untuk jaga maruah negeri ini,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di Bangunan Majlis Perbandaran Kuala Muda Kedah (MPSPK), di sini hari ini.
Katanya, fitnah tersebut bukan sekadar dilemparkan kepada ‘Sanusi Md. Noor’ tetapi juga kepada ‘Menteri Besar Kedah’ dan beliau perlu menjaga kedudukan tersebut dengan baik.
“Kalau saya dok di Sik motong getah hentam pi lah, saya bukan siapa-siapa tetapi apabila saya menjawat jawatan MB dan saya laksanakan amanah saya sebagai MB dan pentadbiran kerajaan. Bila dia fitnah dia telah membuat satu kesilapan fitnah kepada agensi kerajaan dan kepada keputusan-keputusan yang dibuat kerajaan.
“Dia (Saifuddin) cakap berdasarkan fakta tidak benar, kita samanlah, kita saman Saifuddin bukan saman Menteri Dalam Negeri,” ujarnya.
Terdahulu, Sanusi menjelaskan maklumat yang dinyatakan Saifuddin ketika kempen pilihan raya tersebut tidak benar kerana bersifat mengelirukan, berniat jahat untuk memfitnah dan bermotifkan politik.- KOSMO! ONLINE