ALOR GAJAH – Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Berhad (Felcra) diarah untuk memberikan penjelasan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berhubung penjualan bangunan komersial Semarak20 di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia susulan kebimbangan disuarakan Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin baru-baru ini yang memaklumkan Felcra masih belum menjual bangunan berkenaan walaupun terdapat pihak yang berminat.
“Sebagai sebuah syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan, proses penjualan Semarak20 perlu secara en-bloc (keseluruhan) yang mengikut harga pasaran dan dibuat secara tender terbuka.
“Kebimbangan PAC itu mungkin mereka tidak dapat maklumat sebenar di mana Felcra adalah sebuah syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan, jadi saya akan minta Pengerusi Felcra dan juga CEO Felcra memberikan penjelasan kepada PAC,”katanya.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata demikian ketika ditemui pada Mesyuarat Penyelarasan Antara Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Dengan Exco-exco Luar Bandar (MEXCLUB) di sini, hari ini.
Kosmo! pada Julai lalu melaporkan, KKDW telah mengenal pasti sekurang-kurangnya tiga syarikat yang berpotensi membeli projek komersil dibangunkan Felcra Berhad dikenali Semarak20.
Ahmad Zahid memberitahu, jualan bangunan itu bagaimanapun akan dibuat mengikut harga pasaran ekoran kos pembinaan yang tinggi sekali gus membolehkan bayaran balik pinjaman dibuat kepada kerajaan.
Katanya, langkah proaktif itu diambil bagi tujuan membetulkan kepincangan akaun dan pelaburan Felcra seperti mana pendedahan serta syor dikemukakan PAC sebelum ini.
Terdapat beberapa syarikat berpotensi dari dalam dan luar negara termasuk Singapura, Taiwan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menunjukkan minat untuk membeli Semarak20 melalui kaedah en-bloc.- KOSMO! ONLINE