SEREMBAN- Seorang pelajar remaja lelaki maut selepas dipercayai lemas ketika bermandi-mandi bersama empat rakan di air terjun Sungai Mahang di Nilai di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, polis menerima maklumat mengenai kejadian pada jam kira-kira 5 petang.
“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati si mati merupakan seorang lelaki berusia 15 tahun dan merupakan seorang pelajar sekolah menengah di Selangor.
” Si mati bersama empat orang rakan datang ke air terjun tersebut untuk bermandi manda.
“Pemeriksaan fizikal si mati mendapati terdapat kesan darah keluar dari hidung dan tiada sebarang kesan-kesan luka atau lebam yang boleh dikaitkan dengan unsur perbuatan jenayah,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, mayat si mati di hantar ke Jabatan Foresnik Hospital Rembau untuk bedah siasat dan keputusan bedah siasat mendapati si mati meninggal dunia akibat lemas.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,”katanya. – KOSMO! ONLINE