WASHINGTON – Kyiv mungkin tidak lama lagi perlu menyesuaikan diri dengan pengurangan sokongan Washington dalam perang Ukraine menentang Russia selepas calon Parti Republikan, Donald Trump menang pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS), lapor saluran berita CNN kelmarin.
Sepanjang kempen pilihan raya kali ini, Trump dan regunya, JD Vance sebagai Naib Presiden telah menimbulkan keraguan kuat terhadap komitmen berterusan Washington kepada Kyiv dalam perang Ukraine yang berlanjutan lebih dua setengah tahun.
Trump juga mengeluarkan kenyataan bahawa AS boleh mengenakan tekanan ke atas Ukraine supaya bersetuju melaksanakan gencatan senjata dengan Russia.
Russia berusaha untuk memperkasakan bala tenteranya dengan menghantar 10,000 askar Korea Utara ke wilayah sempadan Kursk. Mereka dilaporkan mula bertempur dengan tentera Ukraine, manakala lebih ramai askar Pyongyang dijangka memasuki medan pertempuran dalam tempoh beberapa hari akan datang, kata beberapa pegawai AS.
Sebelum ini, pentadbiran Presiden Joe Biden telah memberikan bantuan berpuluh-puluh bilion dolar kepada Ukraine menerusi penghantaran senjata, peluru dan wang tunai.
Pentadbiran Biden merancang untuk meningkatkan sokongan sebanyak mungkin kepada Kyiv sebelum Trump mengangkat sumpah jawatan pada 20 Januari tahun depan sekali gus Presiden AS yang baharu.
Selepas menewaskan Kamala Harris dalam pilihan raya pada Selasa lalu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy mengucapkan tahniah kepada Trump kelmarin dan berkata, beliau menghargai komitmen Trump ke arah ‘perdamaian melalui kekuatan’.
“Kami menantikan era AS yang kuat di bawah kepimpinan tegas Presiden Trump,” tulis Zelenskyy dalam catatan di media sosial.
Trump sebelum ini berulang kali menyatakan bahawa perang Ukraine dan Russia tidak akan berlaku sekiranya beliau menjadi presiden dan bukan Biden.
Pada Julai lalu, katanya, beliau boleh menyelesaikan konflik Russia-Ukraine itu dalam masa hanya satu hari.
Semasa menyertai debat presiden dengan Naib Presiden AS daripada Parti Demokrat, Kamala Harris baru-baru ini, Trump enggan menyatakan beliau komited kepada Ukraine untuk mengalahkan Russia.
Pada akhir bulan sama, Trump berkata, Ukraine sepatutnya ‘memberikan’ sedikit kepada Moscow dan menegaskan semasa kempen politiknya bahawa sebarang perjanjian ‘paling teruk’ antara Russia dan Ukraine akan lebih baik daripada apa yang berlaku sekarang.
Hanya beberapa hari selepas menyatakan demikian, Trump bertemu dengan Zelenskyy di Bandar Raya New York.
Semasa pertemuan mereka, bakal Presiden AS itu menegaskan bahawa beliau akan berusaha untuk mendapatkan tawaran yang baik untuk kedua-dua pihak.
“Kami mempunyai hubungan yang sangat baik, dan saya juga mempunyai hubungan yang sangat baik, seperti yang anda tahu dengan Presiden Putin. Saya fikir jika kami menang (Pilihan Raya Presiden AS), kami akan menyelesaikannya (perang Ukraine) dengan segera.
“Saya fikir sebelum 20 Januari (2025), sebelum saya mengambil jawatan alih jawatan Presiden, saya fikir kami boleh melakukan sesuatu yang baik untuk kedua-dua pihak. Sudah tiba masanya,” kata Trump.
Namun, pada sidang akhbar akhir bulan lalu, Zelenskyy berkata bahawa Trump hanya banyak bercakap tetapi tidak mendengar beliau akan mengurangkan sokongan untuk Ukraine. – AGENSI