PUTRAJAYA – Pengasas platform e-dagang, FashionValet, Vivy Yusof dilihat meninggalkan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada pukul 4 petang tadi.
Bagaimanapun, Vivy hanya ditemani peguamnya, Shaarvin Raaj Selva Kumar tanpa kelibat suaminya, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar yang dipercayai masih berada dalam bangunan SPRM.
Turut mengiringi Vivy keluar dari bangunan itu ialah seorang pegawai SPRM.
Selain itu, terdapat dua lagi kenderaan dipercayai membawa beberapa lagi pegawai SPRM turut mengiringi kenderaan Vivy.
Terdahulu, pasangan suami isteri itu tiba di Ibu Pejabat SPRM sekitar pukul 2.34 petang tadi bagi memberi keterangan kepada SPRM yang kini memasuki hari ketiga.
Pada 6 November lalu, SPRM telah membekukan beberapa akaun bank persendirian dan syarikat milik pengasas platform e-dagang, FashionValet, Datin Vivy Yusof dan Datuk Fadzaruddin Shah Anuar bernilai kira-kira RM1.1 juta.
Malah, beberapa tas beg tangan dan seutas jam tangan mewah bernilai kira-kira RM200,000 turut disita dari premis pasangan tersebut oleh pegawai SPRM petang semalam. – KOSMO! ONLINE