SHAH ALAM – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyasarkan 14,000 asnaf baharu dapat dijejak dan dibantu sepanjang tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS) , Mohd. Sabirin Mohd. Sarbini berkata, jumlah itu meningkat berbanding 12,000 yang berjaya dijejak tahun lalu menerusi keberkesanan dan kelancaran program dilaksanakan pihaknya setiap minggu.
Menurutnya, secara keseluruhan pihaknya melihat keperluan dana lebih RM1.2 juta dalam membantu asnaf pada tahun ini.
“Antara cabaran dalam proses tersebut sikap segelintir asnaf yang malu atau segan dalam mengadu atau meminta bantuan.
“Justeru, platform telah disediakan kami adalah mengalu-alukan mereka untuk ‘walk in’ di 18 cawangan LZS seluruh negeri ini. Insya-Allah, kalau layak kami bantu ,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pelancaran Zakat Aulad Club (ZAC) di sini hari ini.
Beliau turut memaklumkan, terdapat pelbagai faktor menyebabkan seseorang asnaf segan untuk ke hadapan termasuk mengelakkan rakan-rakan mengetahui selain ada yang menjaga reputasi mereka.
“Kalau ada yang segan dan sebagainya, boleh berhubung juga dengan 1, 200 amil kariah keseluruhannya yang dilantik di setiap daerah dan mereka akan banci dan terus buat sokongan dibantu kalau layak,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Mohd. Sabirin berkata, LZS memerlukan dana sebanyak RM1.2 bilion bagi memenuhi keperluan lapan kategori asnaf di Selangor.
“Berdasarkan data, kutipan zakat setakat Oktober ini adalah dianggarkan RM750 juta dengan seramai 70,000 asnaf, fakir miskin dan mualaf yang sedang dibantu pihaknya setakat ini,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE