fbpx

‘Kalau sebab cantik, kenapa ada bisnes saya tak menjadi’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebagai seorang usahawan muda tudung, Tasnim yang berpendidikan undang-undang baru-baru ini dipilih menerima anugerah 100 Usahawan Muda Paling Berpengaruh 2024.

USIA wanita ini baru menginjak 26 tahun, namun Nur Tasnim Shah kini sudah memiliki empayar perniagaan tudung dan pakaian di bawah jenamanya sendiri.

Kerja keras dan kesungguhan Tasnim juga berhasil apabila dipilih sebagai penerima anugerah 100 Usahawan Muda Paling Berpengaruh 2024 (100MYE) di ibu kota baru-baru ini.

Di sebalik kejayaan itu, Tasnim mengakui bukannya mudah sampai ke tahap sekarang kerana segalanya bermula dari bawah.

Bagaimanapun, setiap peluang yang datang dalam hidupnya tidak pernah disia-siakan sehingga kehidupannya berubah dan bergelar usahawan berpengaruh dalam usia muda.

“Jujurnya saya bukan datang daripada keluarga senang dan kerana itu, saya usaha cari duit sendiri dengan bekerja sambilan jual baju dan produk kesihatan secara online ketika tingkatan empat atau usia 16 tahun.

“Selepas sekolah, saya mula dapat tawaran jadi model dan pada masa sama aktif di Instagram hingga diberi kepercayaan dan peluang bekerjasama dengan jenama terkemuka.

“Kemudian, saya sambung pengajian peringkat ijazah sarjana muda dalam jurusan undang-undang di Universiti Teknologi Mara dan pernah jalankan perniagaan kosmetik serta beberapa bisnes lain.

“Boleh dikatakan kebanyakan bisnes tidak menjadi, mungkin kerana kurang ilmu, juga pengalaman waktu itu,” katanya membuka bicara bersama Aura.

Dek kegagalan itu, akui Tasnim, dia pernah hampir berputus asa, namun masih meneruskan usaha kerana menganggap apa dilalui sebagai proses pembelajaran yang perlu ditempuh untuk bergelar usahawan.

Menurutnya, keluarga banyak memberi semangat untuk bangkit terutama saat berdepan kecaman daripada mereka yang tidak senang dengannya.

“Cabaran saya adalah apabila orang terdekat misalnya kakitangan saya buat silap dan tuding kesalahan sepenuhnya kepada saya.

“Ada juga yang cakap apa yang dikecapi ketika ini kerana cantik, tapi jika betul (kerana cantik) kenapa ada perniagaan saya buat tak menjadi?

“Tapi saya bersyukur kerana suami, Muhammad Amin Daniell banyak membantu dan saya banyak belajar daripadanya kerana keluarganya juga ada bisnes,” katanya.

Memiliki wajah yang cantik, ada pihak yang menyifatkan kejayaan perniagaannya kerana paras rupa.

Tasnim menambah, kejayaan dikecapi dalam bidang keusahawanan disifatkan sebagai permulaan kerana sedar perjalanannya masih jauh dan perlu berusaha lebih keras untuk mengukuhkan jenama perniagaan supaya lebih dikenali.

“Hendak mulakan perniagaan itu lebih senang sebenarnya berbanding kekalkan, tapi saya cuba dapatkan semangat daripada mereka yang positif dan bukan asyik persoalkan apa dilakukan.

“Pada masa sama, saya juga sedang menjalani latihan chambering kerana masih menyimpan hasrat untuk menjadi peguam nanti.

“Andai kata tiada rezeki bergelar peguam sekalipun, sekurang-kurangnya saya ada ilmu berkaitan perundangan kerana pelajaran itu penting bukan hanya untuk jaminan masa depan, tetapi membentuk peribadi,” kata pengusaha tudung TA by Tasnim Shah itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI