fbpx

Penganggur didenda RM15,000 muat naik gambar jelik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH (kanan) keluar dari mahkamah selepas mengaku bersalah memuatnaik gambar jelek di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini.

KUANTAN – Seorang penganggur didenda RM15,000 selepas mengaku bersalah memuat naik gambar bersifat jelik melibatkan institusi Kesultanan Pahang dalam aplikasi TikTok di Mahkamah Sesyen Kuantan, di sini hari ini.

Tertuduh, Mohd Nazre Mohd Sani, 44, membuat pengakuan terbabit di hadapan Hakim Maimoonah Aid.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa telah menggunakan perkhidmatan aplikasi TikTok melalui akaun @mohdnazrebiohdsani secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi iaitu gambar yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan terbabit pada 24 April lalu kira-kira pukul 4.30 pagi yang mana hantaran terbabit telah dilihat pada kira-kira pukul 2.27 petang hari yang sama di Pejabat Kebawah Duli Paduka Baginda (KBPD) Sultan Pahang di Pekan.

Bagi kesalahan itu, tertuduh selaku Orang Kena Saman (OKS) didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama.

Seksyen 233 (3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam menyesal atas kesalahan dilakukan dan memohon agar hukuman denda ke atasnya dikurangkan kepada RM500 memandangkan tertuduh yang tidak mempunyai pekerjaan tetap perlu menyara seorang isteri dan dua orang anak.

Hakim bagaimanapun menetapkan tertuduh dikenakan hukuman denda RM15,000 dan jika gagal membayar denda boleh dikenakan hukuman penjara enam bulan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI