fbpx

Lelaki Perancis janji tidak mahu hina polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh (tengah) ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Balik Pulau, hari ini. -Foto oleh IQBAL HAMDAN/KOSMO!

BALIK PULAU – Seorang lelaki warga Perancis didenda RM10,080 dan dipenjara enam hari oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan iaitu menghina anggota polis dan memandu kereta dalam keadaan mabuk, Ahad lalu.

Tertuduh, Anthony Gilbert Georges Cazals,29, yang bekerja sebagai pelayan sebuah restoran di Bayan Baru membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Chia Huey Ting.

Perintah hukuman penjara selama enam hari itu dikenakan terhadap tertuduh bermula dari tarikh dia ditangkap.

Selain dikenakan denda, Anthony turut diperintahkan menjalani hukuman penjara empat bulan tiga hari sekiranya gagal membayar denda berkenaan. Malah, mahkamah turut memerintahkan lesen memandu antarbangsa milik Anthony digantung selama dua tahun.

Mengikut pertuduhan pertama, Anthony dituduh dengan niat sengaja mengganggu keamanan dengan cara menyebut perkataan yang kurang sopan dan menghina terhadap seorang anggota polis berpangkat koperal di tepi Jalan Persiaran Bayan Indah, 3 November lalu, kira-kira pukul 2.30 pagi.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan denda yang tidak melebihi seratus ringgit.

Bagi pertuduhan kedua, Anthony dituduh memandu kenderaan jenis Honda CR-Z hybrid cvt, warna merah, dengan kandungan alkohol di dalam nafas sebanyak 257 miligram (mg) dalam 100 mililiter (ml) darah iaitu melebihi 207mg /100ml daripada had yang ditetapkan 50mg/100ml.

Perlakuan itu didakwa dilakukan pada tarikh, lokasi serta masa yang sama dan pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, R Lushani memohon mahkamah agar mengenakan hukuman setimpal kepada tertuduh dengan mengambil kira kepentingan awam.

“Ia adalah untuk memberi pengajaran kepada tertuduh agar tidak mengulangi semula kesalahan pada masa depan. Oleh itu, saya mohon hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan denda antara RM10,000 hingga RM30,000 terhadap tertuduh,” katanya.

Sementara itu, peguam yang mewakili tertuduh, S. Vikneshwaran memohon agar mahkamah mengenakan hukuman yang minima kepada anak guamnya itu.

“Anak guam saya masih lagi bujang dan pendapatannya adalah sekitar RM2,500, dia juga mempunyai tanggungan ibu bapa. Dia telah mengaku bersalah dan menjimatkan masa mahkamah serta berjanji tidak akan mengulangi perbuatan tersebut.

”Dia juga dalam perancangan untuk pulang ke negara asal, dia juga telah berada di dalam penjara selepas ditahan serta sangat menyesal atas perbuatannya,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI