fbpx

RM2 juta setahun bangunkan skuad lebuh raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AMARJIT menjawab pertanyaan pihak media selepas mengadakan pertemuan dengan Hannah di MSN kelmarin.

PRESIDEN Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh memaklumkan bahawa pihaknya memerlukan dana sebanyak RM2 juta setahun untuk memastikan kelangsungan dan pembangunan skuad lebuh raya lelaki dan wanita negara.

Amarjit yang baru mengambil alih kepimpinan PKBM bulan lalu mengakui badan induk itu tidak mempunyai kantung kewangan yang ‘menggunung’ sekali gus berdepan kesukaran untuk membangunkan program skuad lebuh raya.

Disebabkan itu, Amarjit berharap pihak kerajaan dan berkepentingan lain memberikan sokongan kewangan yang lebih besar demi memastikan kelangsungan pasukan lebuh raya negara, terutamanya kembali melayakkan diri ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA 2028).

“Pada masa ini skuad lebuh raya dibiayai sepenuhnya oleh Majlis Sukan Negara (MSN), namun ia masih tidak mencukupi bagi menampung kos penyertaan dalam kejohanan antarabangsa yang memerlukan perbelanjaan yang besar.

“Matlamat kami kini adalah untuk menarik perhatian penaja dan mendapatkan dana tambahan. Jika pihak kementerian mahu melihat buku kewangan kami, mereka dialu-alukan. Saya seorang yang terbuka dan mereka boleh datang dan melihat.

“Untuk pasukan lebuh raya berjaya, kami memerlukan sokongan kewangan yang mencukupi untuk program berterusan. Jika hanya fokus pada Sukan SEA, kami hanya bersiap dalam tempoh empat bulan, kemudian menunggu 16 bulan lagi sebelum persiapan semula. Ini tidak mencukupi.

“Untuk ke LA 2028, skuad negara perlu mengambil bahagian dalam banyak acara antarabangsa untuk mengumpul mata kelayakan. Jika tidak, kami pasti tidak akan layak. Matlamat kami kini adalah untuk mempersiapkan pasukan bagi Olimpik Los Angeles 2028,” katanya.

Sebagai rekod, kali terakhir skuad berbasikal lelaki Malaysia mengambil bahagian di Sukan Olimpik adalah pada 2012 dan untuk kembali bersaing di Olimpik, atlet perlu menyertai pelbagai kejohanan antarabangsa bagi mengumpul mata kelayakan.

“Kita telah membuat satu kertas kerja untuk skuad lebuh raya lelaki dan juga wanita. Pembiayaan yang kami perlukan untuk memastikan program berterusan adalah sekitar dua juta setahun. Ini bukan sahaja untuk acara tempatan, malah penyertaan di peringkat antarabangsa.

“Seperti yang disebut Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, perbelanjaan kejohanan skuad ini tidak murah seperti tiket penerbangan, perjalanan dan sebagainya. Kami bersedia untuk berbincang dengan pihak MSN atau berkepentingan lain bagi mencari jalan penyelesaian,” ujarnya.

Amarjit berharap dengan sokongan yang lebih besar, terutamanya dari pihak kerajaan dan penaja swasta dapat memastikan pasukan lebuh raya Malaysia dapat kembali bersaing di pentas dunia, terutamanya Sukan Olimpik 2028.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN