fbpx

ZAC lahirkan Duta Dakwah Celik Zakat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Sabirin (tengah) bersama tetamu jemputan dan para murid SRAI yang menyertai ZAC pada pelancaran kelab itu hari ini. -Foto oleh AFIQ RAZALI / KOSMO!

SHAH ALAM – Sebanyak 11 buah Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) di Selangor akan menjadi perintis bagi penubuhan Zakat Aulad Club (ZAC) agar generasi muda menjadi celik zakat.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS) , Mohd. Sabirin Mohd. Sarbini berkata, penubuhan kelab di sekolah agama dibawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tersebut adalah kesinambungan inisiatif pengukuhan Modul Pendidikan Zakat Selangor (MPZS) yang dilancarkan dua tahun lalu.

Katanya, ini seterusnya akan melahirkan ‘Duta Dakwah Zakat Cilik’ yang melaksanakan tuntutan zakat dan berpotensi memberikan kefahaman zakat kepada umat Islam.

“ZAC ini akan dimulakan tahun ini sebelum diperluaskan kepada SRAI lain di Selangor untuk membudayakan pembayaran zakat pada masa hadapan.

“Mungkin diterapkan ZAC sebagai kelab teras di SRAI dengan kita menggalakkan penyertaannya sebagai wajib khususnya bagi para murid tahun 4 sehingga 6,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pelancaran di sini hari ini.

Antara keistimewaan ZAC adalah mendapat peluang melawati premis LZS seperti Ibu Pejabat LZS, Baitul Hasanah, Baitul Mawadah dan mendapat sijil penyertaan dan markah khas daripada JAIS bagi menyokong kemasukan ke sekolah menengah milik JAIS.

Mohd. Sabirin menjelaskan, melalui ZAC akan memudahkan pemahaman murid-murid terhadap kepentingan zakat termasuk menerusi program zakat usahawan, zakat kuiz dan zakat run.

“Kita mungkin juga akan melaksanakan zakat board games antara sekolah-sekolah terlibat sebagai pendekatan menarik untuk mereka lebih memahami, mengambil berat dan melaksanakan ibadah zakat dalam kehidupan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan pihaknya juga ada memanjangkan usaha modul-modul berkenaan untuk turut dilaksanakan di sekolah-sekolah bawah Kementerian Pendidikan (KPM).

“Untuk maklumkan, sekarang ini telah dilaksanakan projek pilot menerusi silibus di sebuah institut pengajian tinggi swasta (IPTS) di Selangor.

“Diharap dapat dipanjangkan ke universiti lain sebab kami telah bersedia dengan modul yang sesuai dengan pelajar-pelajar di peringkat universiti. Kalau dapat direalisasikan adalah sangat beri impak pada masa depan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI