PETALING JAYA – Management and Science University (MSU) meneruskan peningkatan dalam kalangan universiti terbaik di Asia apabila melonjak 26 anak tangga apabila berada pada kedudukan ke-129 mengikut laporan Quacquarelli Symonds QS World University Rankings: Asia 2025.
MSU melalui satu kenyataan berkata, selepas berada pada kedudukan ke-155 tahun ini dan kedudukan ke-177 pada 2023, pihaknya berada secara konsisten dalam ranking universiti semenjak 2018 serta menjadi indikator penting dalam usahanya memperkasakan kualiti dan akses pendidikan tinggi serta inisiatif pengantarabangsaan di peringkat global.
Tambah kenyataan itu, pencapaian ini turut memperkukuhkan kedudukan MSU dalam kalangan universiti terbaik di rantau Asia Tenggara apabila berada pada anak tangga ke-28.
“Pencapaian ini telah melengkapi kedudukan MSU yang telah disenaraikan pada kedudukan ke-580 universiti terbaik dunia berdasarkan QS World University Rankings (WUR) 2025.
“Penilaian QS World University Rankings: Asia 2025 masih berfokuskan kepada 11 indikator utama iaitu Academic Reputation (30 peratus), Employer Reputation (20 peratus), Faculty Student Ratio (10 peratus), Citations per Paper (10 peratus) dan International Research Network (10 peratus).
“Bukan itu sahaja, ia termasuk Papers per Faculty (5 peratus), Staff with PhD (5 peratus), International Student Ratio (2.5 peratus), International Faculty Ratio (2.5 peratus), Inbound Exchange Students (2.5 peratus) dan Outbound Exchange Students (2.5 peratus),” jelas kenyataan tersebut.
Secara keseluruhan, penarafan QS Asia University Ranking 2025 telah menyaksikan MSU memperolehi skor terbaik bagi indikator Outbound Exchange Students (skor 100, kedudukan ke-7), International Student Ratio (skor 100, kedudukan ke-15), International Faculty Ratio (skor 99.9, kedudukan ke-22) serta Inbound Exchange Students (skor 99.6, kedudukan ke-26).
“Kejayaan ini membuktikan MSU berada di landasan yang tepat dengan matlamat dan visi utamanya dalam melahirkan graduan yang mempunyai personaliti seimbang, holistik dan kompeten serta mencapai standard di peringkat antarabangsa.
“Turut diberikan penekanan ialah aspek pembangunan minda graduan yang berkemahiran berfikir aras tinggi melalui penerapan indikator seperti jalinan industri, penerapan elemen keusahawanan, warga global melalui program mobiliti, komponen penyelidikan, elemen kelestarian atau SDG, kebudayaan inklusif merentasi komuniti, pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) serta pendidikan fleksibel dan pembelajaran sepanjang hayat,” jelasnya.
Seterusnya memainkan peranan penting ke arah memperkasa masa hadapan serta menyediakan akses pendidikan kepada semua peringkat lapisan masyarakat samada di Malaysia serta global selaras dengan moto universiti, Transforming Lives, Enriching Future.
Terdahulu,bagi edisi ke-16, QS World University Rankings: Asia 2025 telah menyenaraikan 40 buah universiti di Malaysia dimana 21 institusi berada dalam kalangan 200 universiti terbaik Asia iaitu melibatkan 11 universiti awam dan 10 universiti swasta. – KOSMO! ONLINE.