PETALING JAYA – Ramai yang mempertikaikan segelintir peniaga yang tidak meletakkan telur rebus dalam nasi lemak, sekiranya pelanggan mahu menambah lauk lain pada hidangan tersebut.
Menerusi luahan orang ramai pada hantaran Thread, mereka berkongsi pengalaman sama apabila segelintir peniaga tidak memberikan telur rebus, sedangkan ia adalah lauk asas untuk nasi lemak.
“Sebenarnya bukan cuci duit je berdosa. Orang jual nasi lemak keluarkan telur rebus bila orang (pelanggan) tambah lauk lain pun berdosa,” luah seorang pengguna Thread dikenali sebagai cerrypalette.
Rata-rata hantaran itu dipersetujui pengguna yang lain dan mereka berkongsi pengalaman sama serta mempertikaikan tindakan segelintir peniaga berkenaan.
“Tak tahu lah kenapa jadi trend sekarang. Bila tambah lauk je, terus hilang ikan bilis dan telur. Hello, kami nak set lengkap nasi lemak, tak kisah ada tambahan lauk atau tidak,” ujar pengguna lain.
“Saya pun terfikir, beli nasi lemak telur mata kena tambah duit, tapi dia buang telur rebus. Telur rebus tu bukan ke termasuk dalam harga asas ke,” komen seorang lagi individu.
“Itu asas kot, nama pun tambah lauk. Bukar tukar lauk,” kata pengguna Thread yang lain. – KOSMO! ONLINE