KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur menyerbu sebuah pusat hiburan disyaki menawarkan perkhidmatan gadis pelayan pelanggan (GRO) warga asing dan warga tempatan di Jalan Kuchai Lama, di sini, awal pagi semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, serbuan Op Noda KL Strike Force itu dilakukan sekitar pukul 1 pagi.
Katanya, operasi itu dianggotai 16 pegawai dan anggota Bahagian Pencegahan Judi, Maksiat dan Gangsterism (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.
“Serbuan dijalankan membawa kepada tangkapan serta rampasan di premis yang menjalankan aktiviti hiburan tanpa lesen dan menggaji GRO warga asing tanpa permit,” katanya hari ini.
Menurut beliau, pihaknya menahan lapan GRO warga asing terdiri daripada warga Thailand (lima), Vietnam (dua), Laos (seorang) berusia 21 hingga 32 tahun termasuk seorang lelaki tempatan berperanan sebagai penjaga premis.
“Seramai 100 orang diperiksa antaranya 31 lelaki tempatan, lelaki warga China (20), GRO warga tempatan (39), lelaki tempatan berperanan sebagai pekerja (enam) dan wanita tempatan yang juga pekerja (empat) yang berusia 23 hingga 46 tahun” katanya.
Jelasnya, pusat hiburan itu menawarkan GRO warga asing yang berselindung disebalik GRO warga tempatan.
Ujar Rusdi, kepungan dilakukan di sekeliling premis tersebut berjaya mengagalkan cubaan GRO warga asing melarikan diri.
“Antara rampasan dibuat adalah sebuah pembesar suara, resit perniagan, mikrofon, dan mixer,” katanya.
Tambah Rusdi, kesemua tangkapan dibawa ke IPD Brickfields untuk tindakan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Hiburan Wilayah Persekutuan (AHWP) 1992.-KOSMO! ONLINE.