MILAN – Keputusan tidak konsisten dibuat pengadil perlawanan dianggap menjadi punca kekalahan ketika Arsenal tewas 0-1 kepada Inter Milan dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di San Siro awal pagi semalam.
Pengurus Arsenal, Mikel Arteta berang apabila tidak dianugerahkan sepakan penalti selepas pemain tengah, Mikel Merino dikasari penjaga gol Inter, Yann Sommer ketika dia sedang cuba menanduk bola.
Bagaimanapun, pengadil memberikan sepakan penalti kepada Inter selepas bola terkena tangan Merino pada penghujung separuh masa pertama dan ia disempurnakan pemain tengah, Hakan Calhanoglu untuk gol kemenangan pasukan itu.
“Saya tidak faham dengan keputusan yang dibuat (bola terkena tangan) kerana situasi itu langsung tidak berbahaya. Apa yang boleh dibuat (Merino) apabila bola berada terlalu hampir dengannya, namun saya terima ia penalti.
“Tetapi mengapa kami tidak diberikan sepakan penalti ketika Merino ditumbuk oleh penjaga gol mereka kerana ia sepatutnya penalti, ‘1,000 peratus’. Saya sukar untuk menerima keputusan seperti ini,” katanya.
Kekalahan pertama yang dialami The Gunners selepas empat perlawanan UCL itu menyaksikan mereka menghuni kedudukan ke-12 dengan tujuh mata, empat tangga di bawah slot yang menjanjikan kelayakan automatik ke pusingan kalah mati.
“Berdasarkan semua perlawanan yang kami harungi di pentas Eropah, saya fikir ini adalah aksi terbaik pernah ditampilkan Arsenal. Jika kami bermain seperti ini, kami ada peluang untuk menewaskan Chelsea nanti,” ujar Arteta. – AGENSI