KUALA LUMPUR -Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan sejumlah 43.5 juta saman berdaftar membabitkan nilai RM6.5 bilion masih tertunggak dan belum dijelaskan sejak 1990 sehingga 6 November lalu, di seluruh negara.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, jumlah saman tertunggak itu meliputi 33 peratus jumlah saman keseluruhan dalam tempoh yang sama.
Katanya, baki 67 peratus atau 92,317,493 saman berdaftar membabitkan nilai RM8.56 bilion sudah dijelaskan.
“Secara keseluruhan rekod PDRM menunjukkan sepanjang tempoh dari 1990 hingga 6 November lalu, sebanyak 135,915,377 saman didaftarkan membabitkan nilai lebih RM20.38 bilion,” katanya selepas melakukan lawatan di Balai Polis Trafik Tun H S Lee di sini, pagi tadi.
Mengulas lanjut, beliu berkata sepanjang 2024 bermula Januari hingga semalam, sebanyak 4,307,956 saman didaftarkan dengan nilai saman mencecah RM646,193,400.-KOSMO! ONLINE.