fbpx

U Mobile pelaksana 5G melalui tender bukan penganugerahan terus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Pemilihan pengendali rangkaian mudah alih (MNO), U Mobile sebagai pelaksana rangkaian 5G kedua dibuat melalui proses tender dan bukan secara penganugerahan terus.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) malah membuat keputusan dan penilaian secara bebas tanpa pengaruh daripada beliau atau timbalannya.

“Kerajaan melalui MCMC telah melaksanakan proses terperinci dari aspek teknikal dan komersial untuk memilih MNO yang akan melaksanakan Rangkaian 5G kedua Malaysia.

“Pemilihan ini telah dilaksanakan melalui proses “beauty contest” atau dalam bahasa mudah melalui proses tender dan bukannya secara penganugerahan terus,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) apakah alasan pemberian lesen kepada U Mobile untuk melaksanakan rangkaian kedua 5G.

Fahmi namun menjelaskan, MCMC bukan memberi lesen atau kontrak kepada U Mobile, tapi peruntukan spektrum yang tidak melibatkan dana awam atau dana kerajaan.

Beliau turut menjelaskan, pemilihan syarikat pelaksana rangkaian 5G kedua dibuat berdasarkan gabungan beberapa faktor seperti rancangan perniagaan dan teknikal dikemukakan.

Ujar beliau, turut diambil kira rekod kadar aduan dan kepuasan pelanggan serta prestasi mereka dalam melaksanakan inisiatif infrastruktur lain.

“Ini termasuk faktor sumbangan kepada projek Penyediaan Perkhidmatan Sejagat (USP) seperti Jendela Fasa 1 dan projek penaiktarafan 4G.

“Bagi pemilihan ini, komitmen-komitmen pengawalseliaan telah ditetapkan untuk memastikan pematuhan kepada standard yang ditetapkan.

“MCMC akan memantau komitmen ini dengan teliti dan tindakan kawal selia dan penguatkuasaan akan dilaksanakan terhadap sebarang ketidakpatuhan,” katanya.

Beliau turut menerangkan, U Mobile telah memaklumkan pegangan asing akan dikurangkan, maka dalam aspek pegangan asing atau tempatan tidak melanggar isu-isu atau syarat bagi keputusan yang telah dibuat.

“U Mobile telah memberi komitmen untuk mengurangkan pegangan ekuiti asing kepada 20 peratus bagi memastikan kawalan yang lebih besar oleh rakyat Malaysia dan mengundang penyertaan daripada pelabur.

“U Mobile juga mempunyai rekod prestasi selama lebih daripada 17 tahun dan berada dalam kedudukan yang baik untuk pelaksanaan rangkaian 5G kedua Malaysia dan pernah dinamakan sebagai ‘Syarikat Perkhidmatan Mudah Alih Malaysia Terbaik’ oleh Frost & Sullivan sebanyak enam kali,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI