KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak berhasrat untuk mengekang akses orang ramai kepada platform yang gagal mendaftar untuk pelesenan penyedia perkhidmatan pesanan internet dan penyedia perkhidmatan media sosial bermula 1 Januari tahun depan.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, bagi kerajaan tindakan sedemikian merupakan pilihan terakhir dan kerajaan seboleh mungkin tidak mahu melaksanakan tindakan tersebut.
“Waktu ini kita menegaskan platform yang mempunyai pengguna lebih 8 juta di Malaysia perlu mendaftar dan ada beberapa tindakan boleh diambil berdasarkan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) terhadap platform tersebut.
“Buat masa ini kerajaan tidak berhasrat mengekang akses kepada platform tersebut Kita melihat ia adalah `the last resort’. kita tidak mahu ke arah itu. Yang penting kita mahu bukan hanya internet yang lebih laju dan murah, tetapi paling penting internet yang lebih selamat untuk kanak-kanak dan keluarga,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) adalah platform internet yang tidak mendaftar untuk pelesenan masih boleh diakses bermula 1 Januari 2025.
Menjawab soalan Wong Shu Qi (PH-Kluang) berhubung literasi digital dalam kalangan rakyat, Fahmi berkata, perkara itu adalah sangat penting termasuk dalam kalangan Ahli Parlimen yang sepatutnya menjadi contoh yang baik kepada masyarakat.
“Kadang-kala kita (Ahli Parlimen) dapat maklumat, tetapi tidak dapat dipastikan. Ahli Parlimen perlu jadi contoh terbaik tak pasti jangan kongsi. Jangan begitu mudah percaya tanpa kita tabayyun dulu sumber,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkongsi pengalamannya dalam menyelesaikan masalah internet di kawasan bandar dan luar bandar termasuk di perkampungan Orang Asli.
“Saya beri contoh apabila kita sediakan internet menggunakan peranti starlink di kampung Orang Asli di Ulu Kemensah, pada saat internet itu dibuka aplikasi pertama dibuka oleh anak-anak adalah TikTok.
“Sewaktu kami selesaikan masalah internet di Kampung Mondikot di Sabah ada dua laman web paling cukup digemari oleh penduduk. Pertama adalah laman web karaoke dan yang kedua tak manis saya sebut dalam Parlimen. `Al-faham’ saja-lah ya,” katanya.
Justeru, katanya, literasi digital adalah penting dan pihaknya mendapat kerjasama beberapa platform media sosial yang secara proaktif membantu mengadakan program bagi mengingkatkan kesedaran dan pemahaman kepada pengguna tentang keselamatan dalam talian. – KOSMO! ONLINE