SUNGAI PETANI – Seorang remaja lelaki maut manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Kilometer 13 Jalan Sungai Petani – Kuala Ketil, Kampung Jerung dekat sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.15 malam itu, mangsa berusia 18 tahun yang mengalami kecederaan dalaman pada kepala dan dada meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kemalangan tersebut melibatkan empat motosikal dengan tiga daripadanya jenis Yamaha 15ZR dan satu jenis Yamaha 125 serta dua kereta jenis Proton Saga dan Perodua Viva.
Menurutnya, kesemua kenderaan itu datang dari arah Sungai Petani menghala Kuala Ketil.
Katanya, siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila kereta jenis Proton Saga membuat pusingan U untuk kembali ke arah Sungai Petani.
“Ketika sedang membuat pusingan U, datang sebuah motosikal jenis Yamaha 15ZR dari arah belakang cuba mengelak ke kiri lalu melanggar bahagian belakang kiri Proton Saga berkenaan.
“Selepas itu, dua penunggang motosikal jenis sama dan jenis Yamaha 125 juga tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian kanan Proton Saga,” katanya di sini semalam.
Ujarnya, akibat perlanggaran itu, mangsa telah terjatuh ke atas jalan raya sebelum dilanggar kereta jenis Perodua Viva yang tidak sempat mengelak.
“Sebuah lagi motosikal kemudian cuba mengelak ke kiri jalan dan terjatuh sendiri,” ujarnya – K! ONLINE