fbpx

Sewaan Black Hawk Tentera Darat dibatalkan – Mohamed Khaled

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

SHAH ALAM – Kementerian Pertahanan telah mengemukakan notis pembatalan kontrak sewaan empat helikopter Black Hawk kepada syarikat kontraktor yang gagal membekalkan empat helikopter Black Hawk untuk kegunaan Tentera Darat Malaysia (TDM).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata, tindakan itu diputuskan selepas syarikat berkenaan tidak memenuhi tarikh akhir yang ditetapkan walaupun sudah dilanjutkan sehingga akhir Oktober lalu.

“Sudah habis Oktober, tiada apa-apa (penerimaan Black Hawk). Notis pembatalan sudah pun dihantar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penghantaran Kumpulan Pertama Malbatt 850-12 di 16 Skuadron, Pangkalan Udara Subang, hari ini.

Terdahulu Kosmo! melaporkan, kontrak perolehan perkhidmatan sewaan helikopter Black Hawk untuk TDM yang diberi tempoh sehingga hujung Oktober kepada pembekal mungkin akan dibatalkan.

Syarikat tersebut telah diberi tambahan masa untuk membekalkan helikopter pengganti kepada Sikorsky S-61A-4 atau Nuri yang telah dilucut tauliah pada 2020 itu.

Mohamed Khaled berkata, pihak kementerian akan mencari alternatif penyelesaian jangka pendek untuk tempoh lima tahun untuk kegunaan tentera darat.

“Kita perlu memahami bahawa Black Hawk yang awal itu hanyalah untuk disewa dan hanya dalam tempoh lima tahun, dan bukannya untuk dibeli secara kekal.

“Dalam keadaan kita batalkan itu saya telah minta pihak tentera darat untuk mencari alternatif lain kerana adalah ‘stop gap’ sementara bagi tempoh lima tahun untuk kegunaan tentera darat dan itu biar bahagian teknikal tentera darat tentukan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI