JAKARTA – Perbuatan seorang guru sekolah rendah di Cianjur, wilayah Jawa Barat yang mencukur rambut anak muridnya sehingga botak akibat masalah kutu mengundang kecaman orang ramai, lapor portal berita Tribunnews semalam.
Menerusi rakaman video yang dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @folkjawabarat, murid itu menangis teresak-esak di hadapan ibu bapanya ketika pulang dari sekolah.
Dia mengadu bahawa rambutnya dicukur oleh guru tersebut demi menghilangkan kutu.
Lebih menyedihkan, murid perempuan itu terpaksa menutup kepalanya dengan sehelai kain kerana malu.
Menurut ibu bapa murid berkenaan, perbuatan itu dilakukan tanpa pengetahuan dan kebenaran mereka.
Rakaman itu mencatatkan lebih 139,000 tontonan dan menimbulkan kemarahan orang ramai.
“Seharusnya meminta kebenaran ibu bapa, jangan ambil tindakan sendiri!” marah seorang netizen.
“Jangan samakan zaman sekarang dengan dahulu! Zaman sekarang semakin canggih! Banyak produk menghilangkan kutu ada dijual di pasaran!” marah netizen lain. – AGENSI