JAKARTA – Waris seorang pelajar sekolah menengah di Kota Sorong, wilayah Papua Barat Daya menuntut wang pampasan sebanyak 100 juta rupiah (RM27,900) daripada seorang guru kerana memuat naik video anak mereka di laman sosial tanpa kebenaran, lapor laman berita Detik hari ini.
“Kes ini bermula daripada sebuah video yang dirakam oleh guru tersebut di bilik darjah pelajar itu. Ia dimuat naik di media sosial tanpa pengetahuan pelajar,” kata Pengetua SMP Negeri 3 Kota Sorong, Herlin S Maniagasi.
Tambah Herlin, ketika kejadian, guru yang hanya dikenali sebagai SA masuk ke kelas pelajar tersebut, ES. Ia ketika itu tidak mempunyai guru yang sedang mengajar.
SA kemudian merakam perbuatan ES yang ketika itu sedang melukis keningnya menggunakan ‘marker’ papan putih.
Guru tersebut kemudian memuat naik video itu ke akaun media sosial miliknya dan ia menjadi tular dengan netizen memberikan pelbagai komen negatif serta positif.
Menurut Herlin, keluarga SA berang dengan keadaan itu lalu meminta wang ganti rugi.
“Waris pelajar itu terus datang ke sekolah dan bertemu dengan SA. mereka menuntut wang pampasan serta meminta saya berundur daripada jawatan dan memecat guru terbabit.
“Namun, kami mengadakan perbincangan dengan waris ES dan membawa perkara itu ke pihak polis,” katanya.
Hasil perbincangan, guru terbabit akur untuk membayar pampasan seperti yang diminta dengan tempoh akhir pembayaran adalah pada 9 November. – AGENSI