GUA MUSANG – Usaha mencari dan menyelamat (SAR) warga Bangladesh yang dipercayai tertimbus dalam kejadian tanah runtuh masih belum menemui sebarang petunjuk.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, operasi SAR itu sudah masuk hari ketujuh hari ini tetap diteruskan meskipun mangsa semakin sukar ditemui berikutan halangan lumpur tebal dan hujan masih berterusan.
Katanya, operasi itu juga masih menggunakan bantuan jengkaut untuk mengali lumpur dan mengangkat bongkah batu.
“Kerja pengalian itu hanya membabitkan persekitaran kawasan kebun sayur yang tenggelam lumpur. Setakat ini, kita masih belum menemui sebarang petunjuk.
“Selain itu, anggota SAR yang melakukan operasi itu terut memperluaskan carian ke kawasan sejauh lebih enam kilometer berhampiran anak sungai,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Dalam kejadian tanah runtuh pada pukul 3.30 petang di Kilometer 92, Jalan Gua Musang-Lojing, Ahad lalu, lelaki warga Bangladesh
Akhund Md. Ziarul, 37, dilaporkan hilang.
Mangsa yang bekerja di sebuah kebun sayur dikhuatiri tertimbus dalam kejadian tanah runtuh ketika masih melakukan kerja di kebun sayur di lokasi kejadian. -K! ONLINE