KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedia mempertimbangkan tiga permohonan dibuat Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) bagi memperkasakan sukan dua roda negara itu.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata, pihaknya akan membuat penilaian terhadap permintaan yang dibuat memandangkan banyak perkara perlu diberikan perincian sebelum sebarang keputusan dibuat.
Antara permintaan yang dibuat PKBM adalah untuk menaik taraf Velodrom Rakyat di Ipoh, Perak dan dana kepada pasukan berbasikal lebuhraya kebangsaan serta peruntukan bagi membantu kejohanan-kejohanan yang bakal dibida.
“Kita bincangkan tiga perkara hari ini, iaitu pertama permintaan PKBM untuk menaik taraf velodrom di Perak kerana ada keperluan untuk dibaiki. Itu sudah dalam pertimbangan KBS tetapi belum ada keputusan.
“Kedua adalah permintaan persatuan untuk KBS beri dana dan sokongan kepada pasukan lebuhraya. Itu juga akan dipertimbangkan manakala ketiga adalah peruntukan yang wujud di peringkat KBS untuk kejohanan yang bakal dibida,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil hari ini.
Sementara itu, beliau turut menjelaskan, pihaknya perlu membuat penilaian terlebih dahulu memandangkan KBS perlu memberi fokus kepada sukan-sukan yang menjadi keutamaan di peringkat KBS dan MSN.
“Ini adalah permintaan yang biasa saya dapat daripada persatuan sukan dan ahli Parlimen. Kita ada 103 jenis sukan, jika semua (persatuan) minta benda sama memang tidak mampu,” ujar Hannah.
Dalam perkembangan lain, beliau turut mengingatkan semua Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA) supaya tidak membuat keputusan melulu berhubung penganjuran sebarang kejohanan sukan antarabangsa.
“Kabinet telah minta supaya setiap persatuan yang membida kejohanan antarabangsa, perlu dapatkan kebenaran Menteri terlebih dahulu. Pernah ada kes di mana mereka bida tetapi tidak ada dana dan datang minta kepada kerajaan.
“Apabila kita tidak beri kerana tiada dalam perancangan, mereka teruskan (penganjuran) juga dan tidak buat dengan betul. Kemudian, nama Malaysia juga yang terlibat sama,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE