fbpx

Kim Pan-gon belum menyerah kalah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PAN-GON tidak memberi alasan dan menerima kekalahan di tangan JDT dengan hati terbuka. - RAJA JAAFAR ALI

TEWAS 0-3 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi kumpulan Zon Timur Liga Juara-juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim semalam menyaksikan juara Korea Selatan, Ulsan HD kini mencatatkan rekod terburuk kejohanan.

Skuad kendalian Kim Pan-gon itu bukan sahaja kecundang dalam semua perlawanan setakat ini, malah gagal untuk mencetak sebarang gol sekali gus mencalarkan reputasi juara Liga K1 tiga musim berturut-turut tersebut.

Meskipun mengharungi permulaan buruk, namun bekas pengendali Harimau Malaya itu masih belum mahu mengibar ‘bendera putih’, sebaliknya optimis kelab Korea Selatan berkenaan masih ‘bernyawa’ dan mampu untuk melangkah ke pusingan 16 terbaik.

“Prestasi Ulsan dalam saingan ACLE sehingga kini amat mengecewakan, kita bukan sahaja gagal mengutip sebarang mata bahkan tidak mampu mencipta sebarang jaringan. Saya ingin memohon maaf kepada penyokong atas persembahan buruk ini.

“Kita bukannya beraksi dengan buruk dan tidak berupaya menjana serangan, namun ketumpulan penyudah menyebabkan kita berada di kedudukan ini. Kita perlu menjadi lebih baik sekiranya ingin melangkah jauh dalam saingan ACLE,” kata Pan-gon.

Dalam aksi malam kelmarin, Ulsan ketinggalan seawal minit ketiga hasil jaringan Arif Aiman Hanapi berpunca daripada kesilapan pemain pertahanannya sebelum Oscar Arribas dan Bergson Da Silva menjaringkan satu gol pada babak kedua memastikan tiga mata buat JDT.

Menurut Pan-gon, beliau enggan memberi 1,001 alasan setelah pasukannya tewas kepada wakil tunggal Malaysia walaupun sedia maklum mengenali gaya permainan pemain kebangsaan seperti Arif Aiman Hanapi, Natxo Insa dan Afiq Fazail.

Katanya, kekalahan itu memberi tamparan hebat buat Ulsan untuk memperbaiki kelemahan pasukan dan bangkit pada perlawanan seterusnya bagi menghidupkan sisa peluang dalam saingan ACLE.

“Tidak dinafikan kita berdepan jadual yang padat dengan perlawanan terakhir menentang Gangwon FC berlangsung lima hari yang lalu, pemain juga kepenatan setelah menempuh penerbangan selama enam jam selain berdepan isu kecederaan.

“Tiada gunanya kita memberi sebarang alasan, sebaliknya melupakan kekalahan ini dan membuat persiapan rapi untuk menjadi lebih baik pada perlawanan akan datang menentang kelab China, Shanghai Port di laman sendiri,” katanya.

Ulsan akan berdepan Shanghai Port pada 26 November ini diikuti Shanghai Shenhua (4 Disember), Buriram United (12 Februari) dan Shandong Taishan (19 Februari).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI