MANCHESTER – Manchester United terdesak untuk merekodkan kemenangan pertama di pentas Eropah menjelang aksi Liga Europa menentang wakil Greece, PAOK Salonika di Old Trafford awal pagi esok.
The Red Devils menunjukkan prestasi kurang memberangsangkan apabila sekadar mencatat keputusan seri dalam tiga perlawanan setakat ini, 1-1 FC Twente, 3-3 FC Porto dan 1-1 Fenerbahce.
Pengendali interim United, Ruud van Nistelrooy melaungkan keyakinan mereka mampu mengutip tiga mata pertama, lebih-lebih lagi ia akan menjadi perlawanan pertama dan terakhirnya sebagai pengurus sebelum ketibaan Ruben Amorim minggu depan.
Bagaimanapun, ia tidak mudah kerana United kini berdepan masalah kecederaan di bahagian tengah selepas kehilangan perancang Denmark, Christian Eriksen minggu lepas.
“Kami berdepan sedikit kesuakaran kerana tiada pemain tengah di bangku simpanan. Jadi saya harap dalam tempoh yang ada ini perlu digunakan sebaiknya untuk mencari penyelesain terutamanya di bangku simpanan.
“Kami mempunyai beberapa pemain muda yang berbakat besar dan boleh menjadi aset penting pada masa depan. Saya harap mereka boleh lakukan sesuatu jika diturunkan nanti,” kata Nistelrooy.
Nistelrooy masih belum tewas sejak menggantikan Erik ten Hag yang dipecat 28 Oktober lalu menerusi kemenangan 5-2 ke atas Leicester City di pusingan keempat Piala Liga Inggeris dan seri 1-1 dengan Chelsea pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL).
Bekas penyerang itu pastinya mengharapkan kemenangan ke atas PAOK dan Leicester yang akan bertemu sekali lagi untuk aksi EPL pada Ahad ini sebelum melepaskan tugasnya kepada Amorim sehari kemudian. – AGENSI