WASHINGTON – Calon Parti Republikan, Donald Trump mencipta sejarah apabila menang Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS), lapor portal berita The Hills semalam.
Trump memenangi 270 undi elektoral yang diperlukan untuk menang dalam pilihan raya tersebut ketika pencabar utamanya, Naib Presiden AS daripada Parti Demokrat, Kamala Harris mendapat cuma 213 undi elektoral.
Trump yang menjadi Presiden Amerika buat kali pertama dari 2017 hingga 20 Januari 2021, berjanji akan memulihkan negara itu yang kini dilanda pelbagai masalah.
“Kita akan membantu untuk negara ini pulih. Ini adalah kemenangan politik yang tidak pernah kita lihat sebelum ini.
“Kita mencipta sejarah dan sebabnya ialah kita teguh mengatasi halangan yang tiada siapa sangka kita boleh mengharunginya
“Kini jelas bahawa kita mencapai pencapaian yang paling luar biasa,” kata Trump kepada penyokong di ibu pejabat kempen Republikan bersama isteri, Melania dan beberapa anaknya termasuk Ivanka Trump serta suami, Jared Kushner di Florida.
Detik kemenangan Trump datang lebih awal apabila saluran berita Fox News melaporkan bahawa beliau menang di negeri Pennsylvania diikuti Wisconsin dan sebahagian negeri lain yang memihak kepadanya.
Sebelum ini, keputusan banyak tinjauan pendapat mendapati kedua-dua Trump dan Harris bersaing sengit dalam pilihan raya tersebut.
Harris membuat kemunculan dramatik dalam perlumbaan ke White House apabila Presiden AS ketika ini, Joe Biden menarik diri daripada bertanding pada Julai lalu di tengah-tengah isu ketajaman mindanya.
Kemenangan Trump menjadikannya Presiden AS kedua yang dipilih memegang jawatan itu bukan secara berturut-turut.
Sebelum ini, Grover Cleveland daripada Parti Demokrat yang dipilih sebagai Presiden AS ke-22 pada 1884, memegang jawatan tersebut sekali lagi pada 1892.
Trump turut berterima kasih kepada penyokongnya dan menjanjikan ‘zaman keemasan’ untuk Amerika selepas beliau dipilih menjadi Presiden AS yang ke-47.
Dalam tamparan seterusnya kepada Parti Demokrat, Parti Republikan juga merampas majoriti di Dewan Senat.
Kemenangan Trump bagaimanapun mengancam mencetuskan gelombang kejutan di seluruh dunia kerana sekutu AS di Eropah dan Asia bimbang akan kembalinya dasar nasionalis beliau dan pujiannya kepada autokrat seperti Presiden Vladimir Putin.
Mata wang dolar AS bagaimanapun meningkat dan bitcoin mencecah rekod tertinggi, manakala kebanyakan pasaran ekuiti melonjak apabila pelabur-pelabur mempertaruhkan kemenangan kepada Trump.
Terdahulu, berjuta-juta rakyat Amerika berbaris panjang untuk mengundi kelmarin, manakala jutaan lagi mengundi awal dalam perebutan jawatan Presiden yang bakal membawa kesan besar kepada Amerika Syarikat dan dunia.
Pengundi Amerika perlu memutuskan sama ada mahu memilih semula Trump atau menjadikan Harris sebagai wanita pertama memegang jawatan paling berkuasa di dunia itu.
Dalam pilihan raya itu, berpuluh-puluh ancaman bom dibuat terhadap pusat mengundi di Georgia dan Pennsylvania.
Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) berkata, ugutan itu dipercayai berasal dari Russia yang dituduh Washington cuba mencampuri urusan pilihan raya. –AFP/AGENSI