IPOH – Teater bertajuk Alang Rentak Seribu iaitu sebuah karya oleh Seniman Negara, Allahyarham Datuk Syed Alwi Syed Hasan akan dipentaskan di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara di Ipoh pada 8 dan 9 November ini.
Persembahan itu merupakan arahan Ard Omar dengan mengisahkan tentang Alang, seorang pemuda kampung yang memiliki banyak kebolehan dan bijak mengawal segala permasalahan.
Kisah bermula apabila sekumpulan rombongan pembikin filem dari Kuala Lumpur datang ke kampung untuk penggambaran dan terjadinya pertembungan nilai dan pendapat antara penduduk kampung dan krew filem.
Jelas Ard, pihaknya mengolah hampir separuh daripada skrip dan pementasan bagi memastikan teater itu dapat dijayakan, memandangkan jalan cerita boleh memakan masa sehingga tiga jam jika mengikut karya asal.
“Kita ada olahan naskah, tetapi tidak ada penambahan apa-apa dialog atau perlakuan lain. Apa yang kita angkat adalah dari segi drama.
“Berbanding Alang-Alang (Alang Rentak Seribu) sebelum ini, dari tahun 1973 sehinggalah beberapa versi yang telah dilakukan dan dipentaskan, kali ini kita mengangkat dramatik, emosi, ekspresi dan apa-apa yang tersirat disebaliknya. Itu salah satu kelainan yang kita buat dalam Alang ini,” katanya di sini hari ini.
Karya Syed Alwi itu pernah memenangi Anugerah Sastera tahun 1973 dan dipersembahkan semula dalam pelbagai platform terutama pementasan teater oleh ramai penggiat seni.
Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Perak, Abd. Rashid Abdullah melihat pementasan teater itu merupakan langkah penting bagi memperluaskan pengaruh sastera negara dan memperkenalkan karya agung Sasterawan Negara kepada khalayak yang lebih menyeluruh.
Beliau juga berkata, harga tiket teater itu diselaraskan kepada RM20 untuk setiap individu dan penonton berusia 15 tahun ke atas sahaja yang dibenarkan masuk.
Teater itu menampilkan pelakon hebat antaranya Azizah Mahzan, Nesa ldrus, Faha Azhar, Pak Chu Raja Lawak, Rosli Rahman Adam, Faris Jamhari dan ramai lagi. – KOSMO! ONLINE