Boleh saya tahu, apakah hukum dapat kerja menggunakan ‘kabel’ atau kroni? Terima kasih.
Jawapan: Isu ‘kabel’ atau favouritism sudah menjadi budaya di dalam masyarakat kita lebih-lebih lagi di dalam dunia pekerjaan.
Konsep menggunakan ‘kabel’ atau kroni untuk mendapatkan pekerjaan boleh dilihat daripada dua perspektif yang berbeza.
Firman Allah SWT: “Sesiapa yang memberikan syafaat yang baik nescaya ia akan memperoleh bahagian (pahala) daripadanya; dan sesiapa yang memberikan syafaat yang buruk, nescaya ia akan mendapat bahagian (dosa) daripadanya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Surah al-Nisa’, 85)
Syeikh Wahbah al-Zuhaili dalam tafsirnya mengatakan syafaat atau pertolongan terbahagi kepada dua iaitu baik dan buruk. Syafaat yang baik seperti mengambil berat hak-hak seorang Muslim dengan cara menghindarkannya daripada bahaya, atau mendorongnya ke arah kebaikan dengan niat ikhlas demi Allah SWT serta tidak mengambil sogokan atau rasuah.
Maka, pertolongan seperti ini adalah diharuskan kecuali menolong orang meringankan hukuman hadd atau melanggar hak orang lain.
Syafaat atau pertolongan yang buruk pula adalah berlawanan dengan syafaat yang baik. Antara contohnya adalah seperti orang tengah atau pertolongan dalam perkara keburukan dengan cara menyogok menggunakan wang dan harta untuk menafikan hak orang lain atau mengambil harta orang lain.
Berdasarkan huraian tafsir di atas, kita dapat mengenal pasti bahawa pertolongan boleh dibahagikan kepada dua perspektif.
Perspektif yang pertama adalah melalui cara yang dibenarkan seperti meminta tolong rakan-rakan untuk memudahkan urusan kehidupan tanpa menafikan hak orang lain.
Contohnya, seorang majikan memilih pekerja atas dasar ingin membantu pekerja tersebut yang datang daripada keluarga miskin.
Perspektif yang kedua pula adalah melalui cara yang buruk dan haram. Islam melarang menggunakan ‘kabel’ dengan cara membayar sejumlah wang atau harta kepada orang lain dengan niat untuk mendapatkan sesuatu.
Muhammad Soleh al-Munajjid pula menghuraikan dengan teliti berkenaan hukum mendapatkan sesuatu pekerjaan menggunakan ‘kabel’. Beliau mengatakan jika pertolongan oleh seseorang dalam syarikat itu mengakibatkan lucutnya hak orang yang lebih layak dari segi kompetensi serta keupayaan untuk menjalankan tugas dengan cekap, maka pertolongan itu adalah haram hukumnya.
Ia adalah ketidakadilan kepada mereka yang lebih layak, serta ketidakadilan yang dilakukan oleh autoriti kerana menghalang keupayaan orang lain untuk berkhidmat dengan cekap, tidak membantu mereka untuk membina potensi diri, dan menjadi satu kehinaan kepada negara dan rakyat.
Keadaan ini akan membuatkan orang berhasad dengki, bersangka buruk dan merosakkan masyarakat secara tidak langsung. Ada pun jika tidak melanggar hak orang lain, maka ia tidak mengapa dan dituntut di dalam Islam. [Lihat Mauqi’ al-Islam Sual wa Jawab: 5/6394]
Imam Nawawi melalui hadis ini menjelaskan mengenai akibat orang yang menzalimi dan melanggar hak orang yang lain. Pelaku dosa tersebut akan dibinasakan oleh Allah SWT dengan teruknya sehinggakan dia tidak mempunyai apa-apa.
Berdasar kepada penjelasan di atas dapat kami simpulkan terdapat dua jenis ‘kabel’ iaitu yang pertama yang dibuat atas dasar saling mengenali dan bertujuan membantu individu yang mempunyai kompetensi bersesuaian.
Maka ‘pertolongan’ yang sebegini adalah harus dan dibenarkan. Sementara kategori yang kedua iaitu ‘pertolongan’ dengan cara sogokan atau apa-apa bentuk favouritisme atas dasar ahli keluarga atau sahabat karib yang tidak berasaskan kompetensi. Maka inilah jenis yang diharamkan kerana ia menzalimi hak orang lain dan boleh menyemai budaya kerja tidak sihat dan pelbagai kemudaratan yang lain.