PETALING JAYA – Sebuah kereta Peroda Kelisa selamba menyelit di laluan tol yang sedang dilalui oleh kenderaan lain, dipercayai tidak mahu membuat bayaran dalam kejadian di Simpang Pulai, Ipoh, Perak.
Menerusi video rakaman papan pemuka (dashcam) yang tular dimuat naik pemiliknya Azmi Razgriz Marzuki pada Facebook, ia berlaku pada 3 November lalu dan pada mulanya, kelihatan kereta Perodua Kelisa warna biru gelap menunggu tepi kiri laluan sebelum melepasi palang tol.
Kemudian, pemilik dahscam tersebut melalui lorong itu dan memberhentikan kereta untuk membayar menggunakan kad Touch ‘n Go bagi melepasi palang berkenaan.
Bagaimanapun, dengan selamba pemandu Perodua Kelisa yang sedia menunggu segera menyelit di bahagian kiri laluan dan bergerak terus keluar melepasi palang selepas pemilik dashcam membayar tol tersebut.
“Biasa tengok orang kena. Ni aku sendiri pula kena. Tak ada duit jangan masuk ‘highway’ la brother. Ubah suai kereta daripada Kelisa nak jadi Gino, akhirnya duit tak ada,” kata Azmi pada kapsyen.
Kejadian itu turut mengundang kemarahan pengguna media sosial, bahkan mereka turut mencari pemilik kereta Perodua Kelisa tersebut berikutan nombor pendaftarannya berjaya dirakam.
“Lapor aplikasi JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) ubah suai kereta biar kena sita,” cadang seorang pengguna.
“Tag JPJ sekali, pasti dia kena sahabat. Aduan online di MyJPJ, bukti dah ada tunggu surat daripada JPJ. Londeh semua kereta tu nanti kena panggil ‘inspection’ (pemeriksaan),” saran individu lain. – KOSMO! ONLINE