KUALA TERENGGANU – Seekor beruang matahari jantan mati selepas dirempuh kenderaan di Kilometer 406, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Telemong, Hulu Terengganu hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 8 pagi itu, haiwan liar seberat kira-kira 60 kilogram (kg)) itu mati akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong berkata, enam anggota agensi tersebut tergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat berhubung insiden berkenaan.
“Malangnya beruang matahari jantan tersebut didapati telah mati sewaktu ditemui. Kami telah menanam bangkai haiwan tersebut sebentar tadi,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.
Dalam pada itu, Kean Seong memberitahu seekor lagi beruang matahari yang tular di media sosial berguling akibat dilanggar di KM 422, LPT 2 di sini pada Ahad lalu masih belum dapat ditemui.-KOSMO! ONLINE