fbpx

KPDN pantau harga barang ketika musim tengkujuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Armizan.

PETALING JAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan terus memantau dan mengawal harga barang sepanjang musim tengkujuh.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, pihaknya memastikan terdapat pegawai-pegawai yang memantau harga barang melibatkan sebanyak 480 jenis barangan setiap hari bagi memastikan kestabilan harga.

“Kita juga melantik Peruncit Daerah Terpilih (DDR) dan Pemborong Daerah Terpilih (DDW) di kawasan yang berisiko terkesan banjir sebagai langkah bagi memastikan bekalan barangan mencukupi dan dapat diakses oleh rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Antara Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), di sini hari ini.

Kata Armizan, dengan langkah tersebut, KPDN berharap dapat mengekang sebarang kenaikan harga yang mungkin berlaku akibat peningkatan permintaan serta cabaran bekalan di kawasan banjir.

“Tambahan pula, inisiatif Program Jualan Rahmah akan diperluaskan ke kawasan berisiko bagi memastikan masyarakat mendapat barangan asas pada harga berpatutan.

“Kerajaan komited memastikan akses rakyat kepada barangan pada harga yang berwajaran. Program jualan ini juga akan membantu meringankan beban kos sara hidup mereka yang terjejas semasa monsun,” tambahnya.

Selain itu, beliau turut memberi jaminan bahawa langkah-langkah yang diambil adalah bagi memastikan tiada lonjakan harga yang membebankan rakyat ketika monsun tahun ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI